Rasa pilu dan tidak tergambar jelas terpancar pada wajah ibu kepada pelajar perempuan yang maut ditikam di sebuah sekolah menengah di Bandar Utama, Petaling Jaya apabila mendedahkan keputusan bedah siasat menunjukkan anaknya mengalami sebanyak 200 kesan tikaman di seluruh tubuh.
“Anak Saya Ditikam 200 Kali” – Ibu Mangsa Dedah Hasil Bedah Siasat
Wanita berkenaan, Wong Lee Ping, berkata beliau menerima maklumat itu daripada pihak patologi selepas laporan rasmi bedah siasat dikeluarkan. Menurutnya, jumlah kecederaan yang dialami anak bongsunya jauh lebih banyak berbanding laporan awal yang tersebar di media sosial.
“Kami tahu laporan dalam talian mengatakan 50 tikaman, tetapi sebenarnya anak perempuan saya mengalami 200 tikaman. Dia 200 luka tikaman. Bukan tetakan, tetapi tikaman,” katanya dalam sidang akhbar di Nirvana Center, Kuala Lumpur semalam.
Lee Ping turut menzahirkan kekesalan terhadap penyebaran pelbagai maklumat palsu di media sosial sejak insiden menyayat hati itu berlaku. Beliau menegaskan bahawa anaknya tidak pernah mengenali suspek berusia 14 tahun, meskipun kedua-duanya menuntut di sekolah yang sama.
“Banyak khabar angin tidak benar yang beredar. Hakikatnya, anak saya tidak pernah berinteraksi dengan suspek. Mereka tidak saling mengenali,” ujarnya.
Tragedi berdarah itu berlaku kira-kira jam 9.30 pagi, Selasa lalu, apabila mangsa berusia 16 tahun ditemui maut di dalam tandas sekolah dengan kesan tikaman di seluruh badan. Suspek yang juga pelajar lelaki tingkatan dua ditahan tidak lama selepas kejadian.
Kes kini disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh, dan pihak polis masih menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti motif sebenar kejadian.
Kredit: Utusan