Peguam kepada isteri pemain bola sepak kebangsaan, Nur Syazwani Mizuana Shahril menolak dakwaan yang mengaitkan faktor paras rupa dan kewangan sebagai punca keretakan rumah tangga anak guamnya bersama Faisal Halim.
![]()
Peguam Nafi Dakwaan Tidak Benar, Punca Perceraian Faisal Halim & Isteri Disebabkan Tiada Persefahaman
Roshdan Sujak Rafie menegaskan tuduhan kononnya Syazwani memfailkan perceraian kerana suaminya tidak lagi berharta atau kurang menarik adalah tidak benar. Sebaliknya, beliau menjelaskan konflik yang berlaku berpunca daripada ketiadaan persefahaman antara pasangan berkenaan yang difahamkan sudah tidak tinggal sebumbung sejak sebulan lalu.
“Saya ada baca komen netizen mengatakan anak guam fail cerai kerana Faisal tiada duit dan sudah tidak handsome (kacak), semua ini tidak benar. Saya dimaklumkan mereka sudah tiada persefahaman,” katanya. Menurut Roshdan, Syazwani kini berada dalam keadaan baik dan menerima kenyataan bahawa isu rumah tangganya sudah menjadi perhatian umum.
![]()
Dalam prosiding di Mahkamah Rendah Syariah Klang baru-baru ini, peguam kepada Faisal memaklumkan pemain Selangor FC itu pernah melafazkan cerai pada 15 Jun lalu sebelum merujuk kembali sehari kemudian. Namun, lafaz tersebut tidak pernah didaftarkan, menyebabkan prosiding pengesahan talak di luar mahkamah perlu dilakukan terlebih dahulu.
Buat masa ini, isu hak penjagaan terhadap anak tunggal pasangan berkenaan, Khalish, masih belum dibincangkan kerana keutamaan diberikan kepada penyelesaian proses pengesahan lafaz cerai. Peguam Faisal, Datuk Akberdin Abdul Kader turut mengesahkan perceraian ini berpunca daripada tiada persefahaman antara kedua-dua pihak.
Faisal atau lebih dikenali dengan panggilan Mickey mendirikan rumah tangga bersama Syazwani pada 9 Mac 2019 dan hasil perkahwinan itu mereka dikurniakan seorang cahaya mata lelaki.
Kredit: Harian Metro