Seorang pemuda berusia 22 tahun dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan membunuh dan membakar kekasihnya yang sedang hamil dua tahun lalu di Sabak Bernam.
Pemuda Dijatuhi Hukuman Mati Kerana Bunuh dan Bakar Kekasih Hamil di Sabak Bernam
Keputusan itu dibuat oleh Hakim Norazlin Othman terhadap Muhammad Fakrul Aiman Sajali selepas tertuduh mengekalkan pengakuan bersalah atas pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun dan sekurang-kurangnya 12 sebatan jika tidak dijatuhkan hukuman mati.
Tertuduh didakwa membunuh Nur Anisah Abdul Wahab, 21, di Jalan Sungai Limau antara jam 8.30 malam pada 22 Mei hingga 8 pagi keesokan harinya, 23 Mei 2023. Dalam penghakimannya, Hakim Norazlin menegaskan bahawa perbuatan tertuduh disifatkan sangat kejam serta menunjukkan elemen perancangan yang jelas, bukan dilakukan secara spontan.
“Kes ini melibatkan dua nyawa, mangsa dan kandungan berusia 18 minggu yang turut terkorban. Laporan bedah siasat mendapati hampir seluruh tubuh mangsa mengalami kesan terbakar, manakala usus dan janinnya terkeluar dari bahagian perut. Mangsa juga mengalami luka tikam dan hiris di abdomen serta tapak tangan,” katanya.
Menurut keterangan kes, tertuduh memukul kepala mangsa dengan sebatang kayu hingga jatuh sebelum mengheret tubuh mangsa ke tepi parit. Dia kemudian mengambil pisau dari kereta dan menikam perut serta menghiris leher mangsa. Antara 112 eksibit yang dikemukakan di mahkamah termasuk pisau, kayu, pakaian mangsa dan imej ultrabunyi kandungan.
Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Ashiqin Zulkifli, menyifatkan jenayah itu sangat serius kerana melibatkan nyawa manusia, apatah lagi mangsa yang sedang mengandung.
“Cara kematian mangsa amat menyayat hati dan tindakan tertuduh jelas menunjukkan niat serta perancangan. Hukuman berat perlu dijatuhkan sebagai pengajaran kepada masyarakat,” ujarnya.
Dalam hujah mitigasi, peguam bela Muhammad Nor Tamrin memohon agar mahkamah mempertimbangkan hukuman lebih ringan dengan mengambil kira pengakuan bersalah anak guamnya sebelum perbicaraan bermula. Beliau berkata tertuduh hanyalah seorang penuntut institusi pengajian tinggi yang cemerlang dengan purata nilai gred kumulatif (PNGK) 3.80 serta tidak mempunyai rekod jenayah.
Peguam itu turut mendakwa anak guamnya dijadikan kambing hitam selepas laporan DNA Jabatan Kimia mengesahkan janin berusia 18 minggu yang dikandung mangsa bukan milik tertuduh. Tambahnya, tertuduh juga pernah diugut oleh seorang lelaki yang mendakwa dirinya suami kepada sepupu mangsa supaya bertanggungjawab atas kandungan tersebut.
Namun selepas meneliti keseluruhan fakta dan tahap kekejaman perbuatan itu, mahkamah memutuskan bahawa hukuman gantung sampai mati adalah wajar bagi mencerminkan keadilan kepada mangsa dan masyarakat.
Kredit: BERNAMA