Seorang pelajar perempuan berusia 17 tahun yang juga calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) ditemukan tidak bernyawa di kediaman keluarganya di Kuala Klawang, Jelebu, pada malam Sabtu lalu.

Remaja Ditemui Maut Dalam Bilik Berkunci di Jelebu, Tiada Unsur Jenayah Dikesan

Kejadian itu disahkan oleh Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad, yang memaklumkan bahawa laporan diterima daripada pegawai perubatan Hospital Jelebu sekitar jam 11.50 malam berhubung penemuan tersebut.

Siasatan awal mendapati mangsa berada di dalam biliknya yang dikunci dari dalam sebelum disedari tidak sedarkan diri oleh ahli keluarga. Pemeriksaan lanjut polis di lokasi kejadian tidak menemui sebarang kesan pergelutan, unsur jenayah atau kehilangan barangan peribadi milik mangsa.

“Kami mendapati rumah ini adalah kediaman keluarga dan si mati dikatakan mengunci pintu bilik dari dalam. Hasil pemeriksaan lanjut ke atas tubuh mangsa tidak menjumpai sebarang kesan pergelutan atau perlakuan jenayah. Selain itu, tidak terkesan sebarang kesan geledah atau barang peribadi milik mangsa hilang,” katanya.

Prosedur bedah siasat yang dijalankan pada pagi keesokannya juga tidak menemui sebarang unsur mencurigakan, dan kes itu diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).

Pihak polis menasihatkan orang ramai supaya tidak menimbulkan spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih bagi menjaga sensitiviti keluarga mangsa.

Kredit: Buletin TV3

 

[fbcomments]