Berdebar-debar; Mungkin itulah perkataan yang dapat menggambarkan perasaan si ibu apabila anaknya yang berusia enam tahun terjatuh dan dibawa arus deras ke dalam kolam kumbahan di Sungai Petani, kelmarin.
Dalam kejadian jam 5 petang tersebut, Mohamad Harith Nasrullah Mazwan terjatuh ke dalam longkang sebelum dihanyutkan sehingga ke kolam kumbahan tersebut.
Ibu mangsa, Naziroh Abdullah, 40, berkata, detik 30 minit itu sangat mendebarkan dan dia amat bersyukur apabila anaknya selamat disebalik pokok keladi bunting di kolam berkenaan.
Cerita wanita itu, ketika kejadian, anaknya sedang bermain bola sepak bersama rakannya sebelum terjatuh ke dalam longkang sedalam satu meter terletak di hadapan rumahnya ketika hujan lebat.
“Sebaik melihat kejadian itu, saya berlari dan cuba mencapai tangan anak (Mohamad Harith) yang hanyut dibawa arus deras di dalam longkang.
“Sambil berlari, saya menjerit meminta jiran-jiran supaya mereka menghubungi pihak bomba. Dalam masa sama, saya cuba capai tangan anak, tetapi gagal kerana arus air terlalu deras.
“Tidak lama kemudian anak saya hilang daripada pandangan mata. Ketika itu saya hanya mampu berserah kepada Allah SWT. Benarlah kuasa Allah mengatasi segala-galanya apabila dia berjaya diselamatkan anggota bomba tidak lama kemudian,” katanya ketika ditemuramah pihak Kosmo.
Anaknya ditemui dalam keadaan tenggelam timbul di kolam kumbahan yang dipenuhi pokok keladi bunting terletak sejauh 15 meter dari rumahnya.
Dia juga memaklumkan anaknya sihat dan hanya mengalami luka pada kaki.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Tikam Batu, Penolong Penguasa Bomba Mohamad Syukri Hashim berkata, dia dan tujuh anggota telah bergegas ke tempat kejadian selepas menerima panggilan.
Anggota bomba telah terjun ke kawasan kolam kumbahan tersebut selepas melihat kanak-kanak seperti melambai di permukaan kolam. Ketika diselamatkan, kanak-kanak tersebut dalam keadaan sedar dan dikejarkan ke Hospital Sultan Abdul Halim, di sini untuk mendapatkan rawatan lanjut.
Sumber: Kosmo