Selepas kes dua pemain bola sepak kebangsaan iaitu Akhyar Rashid yang diserang dan disamun, manakala Faisal Halim disimbah asid, kini giliran bekas pemain bola Harimau Malaya iaitu Safiq Rahim yang menjadi mangsa ketiga apabila kenderaannya dikatakan telah dipecah dengan tukul besi oleh individu tidak dikenali, dalam kejadian pada malam tadi.
Kereta Kena Pecah Dengan Tukul Dengan Orang Tidak Dikenali
Menerusi hantaran yang dimuat naik oleh Safiq Rahim di laman Instagram miliknya, difahamkan ketika kejadian mangsa sedang dalam perjalanan ke rumah selepas menjalani latihan di Pusat Latihan JDT Sri Gelam, Johor Bahru, Johor, kira-kira pukul 10 malam Selasa.
Berdasarkan laporan polis yang dibuat Safiq, mangsa telah diserang oleh dua lelaki tidak dikenali yang menaiki sebuah motosikal ketika beliau berada di jalan Gelam menuju pantai Lido, sebaik selesai mengambil barang peribadinya di pusat latihan JDT.
Katanya, salah seorang daripada penyerang mengeluarkan tukul besi dan mengetuk cermin keretanya dari belakang. Beliau kemudian menghentikan keretanya dan dua lelaki terbabit kemudian berhenti didepanya sambil menunjukkan tukul besi kepadanya.
Safiq bertindak mengundurkan keretanya dan dua lelaki berkenaan kemudiannya meninggalkan lokasi.
Cermin Kereta Belakang Pecah, Safiq Terus Buat Laporan Polis
Safiq kemudian membuat laporan polis di Balai Polis Larkin pada jam 11.06 minit malam sama.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan iaitu Asisten Komisioner Raub Selamat mengesahkan mengenai kejadian tersebut dan kini pihak polis sedang memburu suspek yang terlibat dalam insiden terbabit.
“Siasatan sedang dijalankan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan. Kenyataan akan dikeluarkan selepas siasatan selesai,” katanya.
Kredit: Buletin TV3