Platform media sosial TikTok sekali lagi mencuri perhatian apabila video masakan menjadi bualan hangat, terutamanya selepas pencipta kandungan masakan ringkas, Che Sayang, merangkul gelaran “Creator of The Year” di TikTok Awards Malaysia yang berlangsung malam tadi.
Che Sayang Kalahkan Saingan Terhebat
Che Sayang, atau nama sebenarnya Abdul Qayyum Khalid, dikenali ramai melalui siri popularnya “Dua Minit Satu Resepi” telah berjaya mengalahkan lima calon lain yang turut bertanding dalam kategori yang sama iaitu Ryan Bakery, Sofyank, Shi Qi, Daddy Hood dan Sofea Shra.
Meskipun baru setahun terlibat dalam dunia penciptaan kandungan, Che Sayang tidak membiarkan masa yang singkat itu menjadi halangan. Sebaliknya, dia berjaya menarik perhatian ramai dengan ratusan video masakan yang bukan sahaja mudah diikuti, tetapi juga menghiburkan.
“Perasaan saya memang sebak. Sekarang pun masih tak percaya lagi. Sebab saya tahu calon-calon yang lain sangat hebat, banyak sumbangan mereka dalam penciptaan kandungan ini. Tapi saya cakap dengan pasukan saya, daripada kita mengalah, kita bekerja lebih keras,” katanya dalam temubual selepas menerima trofi kemenangan.
Sebagai seorang jurutera data, kejayaan ini tidak mungkin tercapai tanpa sokongan peminat, keluarga, terutamanya ibu beliau yang menjadi inspirasi dalam perkongsian resipi-resipi tradisional yang diwarisi.
“Sebelum ini saya dah berniaga banyak benda dan banyak yang tak jadi. Kemudian pada tahun 2023, saya kata saya akan kembali, walau apa jadi pun, saya nak buat sampai jadi,”tambahnya.
Malam penghargaan itu juga menyaksikan pengenalan kategori baru, “Changemaker of The Year,” yang memberi pengiktirafan kepada pencipta kandungan yang memberikan impak besar dan positif kepada komuniti. Anugerah ini diraih oleh Brader Wheelchair atau Nur Izhar Idham, seorang individu OKU yang aktif meningkatkan kesedaran mengenai kemudahan OKU di negara ini. Kategori ini juga turut dimenangi oleh Lokohopunoh Group.
TikTok Awards Malaysia, yang dianjurkan buat kali kedua di ibu negara, bertujuan untuk menghargai bakat dan karya pencipta kandungan tempatan. Acara tersebut turut dimeriahkan dengan kehadiran selebriti terkenal serta persembahan menarik daripada Aina Abdul, Naim Daniel, Aisha Retno, dan ramai lagi.
Kredit: Buletin TV3