fbpx

Pemenang pingat emas Paralimpik Paris 2024 iaitu Cheah Liek Hou merancang untuk mendermakan sebahagian daripada ganjaran RM1 juta yang bakal diterimanya kepada badan kebajikan, sebagai tanda penghargaan kepada masyarakat.

Dalam satu kenyataan kepada Astro Arena, atlet badminton ini menyatakan hasratnya untuk menggunakan sebahagian ganjaran tersebut demi kebaikan masyarakat Malaysia yang telah memberikan sokongan sepanjang kariernya.

Mahu Derma Sebahagian Hasil Yang Diterima

Cheah Liek Hou yang berjaya mempertahankan gelaran juara dalam acara perseorangan lelaki SU5 di Arena Porte de La Chapelle akan menerima ganjaran RM1 juta di bawah Skim Hadiah Kemenangan Sukan (Shakam) berikutan kejayaan tersebut. Pemain berusia 36 tahun itu menegaskan bahawa kejayaannya adalah hasil kerjasama banyak pihak, dan beliau berhasrat untuk berkongsi rezeki dengan mereka yang memerlukan.

“Yang pertama, apa yang saya mahu lakukan adalah untuk memulangkannya kepada masyarakat, jadi saya akan menyumbangkan sedikit sebanyak ke jalan kebajikan buat masyarakat,” katanya.

Liek Hou turut mengimbas kembali bahawa beliau pernah mengambil tindakan serupa ketika memenangi pingat emas pada Sukan Paralimpik Tokyo 2020. Beliau menegaskan bahawa rezeki yang diterima adalah hasil sokongan ramai, dan oleh itu, beliau berpendapat adalah wajar untuk berkongsi kejayaan tersebut dengan masyarakat.

“Saya juga pernah melakukannya ketika memenangi pingat emas (Sukan Paralimpik) yang saya menangi di Tokyo tiga tahun lalu. Saya rasa rezeki ini bukan saya seorang sahaja yang berjaya dapatkannya, jadi saya mahu menyumbangkannya semula ke arah kebajikan,” ujarnya.

Untuk rekod, Cheah Liek Hou sekali lagi mengharumkan nama Malaysia apabila memenangi pingat emas di Paralimpik Paris 2024, setelah menewaskan wakil Indonesia, Suryo Nugroho, dengan skor 21-12, 21-15. Kemenangan ini menandakan kejayaannya mempertahankan gelaran juara yang diraihnya pada edisi Tokyo tiga tahun lalu.

Kredit: Astro Arena

 

[fbcomments]