fbpx

Seorang lelaki bertindak melepaskan tembakan kepada bekas isterinya dalam kejadian di Balai Ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) hari ini sebelum tembakan yang dilepaskan terkena individu lain.

Lelaki Lepaskan Tembakan Kepada Bekas Isteri

Memetik laporan Astro Awani, difahamkan lelaki terbabit telah melepaskan tembakan kepada isterinya yang dikatakan sedang menunggu kepulangan jemaah umrah.

Namun tembakan yang dilepaskan itu tidak terkena pada sasaran, sebaliknya ia terkena kepada seorang lelaki yang merupakan pengawal peribadi seseorang. Mangsa dikatakan mengalami kecederaan parah.

“Siasatan mendapati kejadian melibatkan seorang lelaki tempatan yang melepaskan tembakan kepada isterinya. Bagaimanapun tembakan berkenaan mengenai seorang individu mengakibatkan mangsa mengalami kecederaan parah sebelum suspek kemudiannya bertindak melarikan diri sejurus selepas kejadian,” katanya.

Kes Diklasifikasikan Sebagai Cubaan Bunuh

Menurut pihak polis, suspek dilihat sempat melarikan diri dari tempat kejadian sejurus melepaskan tembakan. Kini, usaha untuk memburu dan mengesan suspek sedang giat dijalankan dan kes tersebut telah diklasifikasikan sebagai kes cubaan untuk membunuh.

Kes tersebut juga disifatkan oleh polis sebagai kes bersifat peribadi dan tidak mempunyai kaitan dengan aktiviti keganasan. Orang ramai diingatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian.

Kredit: Astro Awani

[fbcomments]