Cubaan dua lelaki memecah masuk sebuah rumah di Jalan Kebun, Seksyen 30, Shah Alam, awal pagi Sabtu lalu gagal selepas tindakan mereka disedari oleh pemilik kediaman yang terjaga daripada tidur akibat bunyi mencurigakan sekitar jam 5 pagi.

Video di bawah:

https://x.com/dahfollowbelum/status/1977738334186217564

Warga Asing Hanya Berseluar ‘Boxer’ Ketika Cuba Ceroboh Rumah

Ketika memeriksa, mangsa terlihat dua individu sedang cuba memanjat dinding rumah untuk menceroboh masuk melalui tingkat atas. Salah seorang suspek yang juga warga Indonesia dilaporkan hanya berseluar dalam jenis boxer tanpa berbaju, sekali gus menimbulkan rasa cemas dan curiga dalam kalangan penduduk sekitar.

Rakaman video kejadian itu turut tular di media sosial dan memperlihatkan jeritan penduduk yang mengarahkan suspek turun, namun dia dilihat cuba berdalih sebelum seorang lagi rakannya sempat melarikan diri.

Menurut Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd. Iqbal Ibrahim, pemilik rumah bertindak memanggil penduduk setempat untuk membantu mengepung kawasan sebelum salah seorang suspek berjaya diberkas dan diserahkan kepada polis.

Hasil siasatan mendapati lelaki terbabit tidak mempunyai pekerjaan tetap serta gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.

Katanya, kes kini disiasat di bawah Seksyen 447 Kanun Keseksaan kerana menceroboh yang membawa hukuman penjara sehingga enam bulan atau denda, dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki dokumen sah.

Pihak polis turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai suspek kedua agar menghubungi Penolong Pegawai Penyiasat, Sarjan Aznor Zainal di talian 017-3989155 bagi membantu siasatan lanjut.

Kredit: Majoriti Official

 

[fbcomments]