Seorang suami tergamak menumbuk dan menampar isterinya sehingga maut selepas rahsianya berkahwin lain terbongkar. Kejadian berlaku di Flat Pelangi Damansara.
Difahamkan semasa kejadian, mangsa terlihat suaminya bersama wanita lain yang juga madunya melalui video di aplikasi TikTok sebelum berlakunya pergaduhan pada kira-kira 10 malam.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya berkata, Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya telah menerima panggilan kira-kira pukul 7.30 pagi daripada orang awam memaklumkan mangsa ditemui dalam keadaan tidak bernyawa di rumah berkenaan
Polis mendapati terdapat kesan lebam pada bahagian badan mangsa dan punca kematian masih belum dikenal pasti. Mayat mangsa dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk dibedah siasat.
Walau bagaimanapun, suami mangsa berusia 29 tahun itu telah ditahan, dan hasil soal siasat mendapati suspek mengaku menumbuk dan menampar mangsa berkali-kali hingga tidak bergerak sebelum meninggalkan isterinya itu sendirian dan menuju ke Klang.
Sementara itu, seorang wanita berusia 45 tahun yang mengaku isteri kedua suspek yang berkahwin pada November tahun lalu, turut ditahan bagi membantu siasatan.