Selepas beberapa hari nama Ebit Lew dijaja oleh beberapa individu yang dikatakan “mendedahkan” apa yang berlaku, pendakwah bebas ini tampil memaklumkan bahawa beliau telah membuat laporan polis berhubung isu fitnah yang dilempar terhadapnya baru-baru ini.

Buat Laporan Polis
Berdasarkan perkongsian yang dimuat naik oleh Ebit Lew sendiri di laman Instagramnya, beliau telah hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah Subang Jaya (USJ 8) bagi membuat laporan mengenai isu fitnah.
“Bismillah. Baru sampai dari Jeddah 12 malam tadi terus ke balai polis buat report mengenai fitnah-fitnah melampau yang langsung tidak berasas ke atas saya”, katanya di ruangan kapsyen.
Serahkan Segalanya Kepada Polis
Menurut Ebit Lew lagi, beliau akan menyerahkan segala urusan berkaitan kepada pihak polis dan pihak guamannya untuk melakukan siasatan dan tindakan selanjutnya.
“Saya serahkan kepada pihak polis untuk mengambil tindakan. Saya juga telah menyerahkan kepada pihak peguam saya untuk tindakan selanjutnya”, jelasnya lagi.
Info tambahan, seorang wanita bertatu dari Indonesia iaitu Mondy Tato telah membuat pendedahan secara terbuka yang agak mengejutkan ketika beliau menjadi tetamu bagi sesi podcast yang dikendalikan oleh Caprice pada Jumaat lalu. Antara pengakuan yang dibuat Mondy adalah beliau mendakwa dirinya telah menjadi mangsa gangguan seksual beberapa kali oleh Ustaz Ebit Lew. Beliau turut menceritakan kejadian tersebut berlaku sewaktu bermula hari pertama beliau tiba di Malaysia.
Kredit: Instagram Ebit Lew