fbpx

Semalam kecoh satu Malaysia apabila dikhabarkan dua anggota polis gugur ketika menjalankan tugas di Balai Polis Ulu Tiram, Johor selepas kedua-dua mangsa maut ditetak dan ditembak oleh individu bertopeng.

Namun, bapa kepada Konstabel Muhamad Syafiq pada mulanya ingatkan ianya hanyalah rekaan semata-mata apabila dia menerima panggilan dari kebun mengatakan anaknya sudah meninggal dunia.

Dapat Panggilan Pada Jam 8 Pagi Di Kebun

Memetik laporan Bernama, difahamkan Ahmad Said Md Piah, 65, mendapat panggilan dari pihak polis pada jam 8 pagi sewaktu dia berada di kebun. Dia tidak menyangka bahawa kejadian tersebut benar-benar terjadi selepas mendapat kepastian daripada seorang lagi anaknya yang turut bertugas sebagai anggota polis.

“Saya ingat orang hanya buat cerita atau scam (penipuan). Ada polis telefon maklumkan berkenaan kejadian itu…agak sukar nak percaya bila orang cakap anak pak cik, Syafiq meninggal dunia kena tembak…memang tak sangka betul.

“Saya balik rumah cakap dengan isteri kemudian tanya abang arwah yang kerja polis di Kuala Lumpur dan dia cakap benda itu betul, arwah kena tembak,” katanya dalam sebak.

Ahmad Said yang juga merupakan pesara tentera memaklumkan bahawa Allahyarham Muhammad Syafiq sememangnya meminati kerjaya sebagai anggota polis dan sanggup berhenti belajar di sebuah kolej dalam jurusan forensik demi berkhidmat dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Selepas tamat STPM (Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia), Syafiq sambung belajar dua tahun di kolej itu sebelum berhenti untuk masuk polis. Dia memang berhasrat untuk menyambung kembali pengajiannya selepas itu,” luahnya.

Allahyarham Seorang Anak Yang Baik Dan Patuh

Sementara itu, ibu mangsa yang bernama Aini Mohd Shariff, 57, meluahkan bahawa anaknya itu seorang yang sangat patuh dan baik terhadap orang tua.

Dia juga kerap menelefon ibunya bertanya khabar sejak bertugas di balai polis berkenaan.

“Raya baru ini arwah tak balik, tapi dia ada telefon sebab nak dekat hari jadi makcik. Arwah tanya nak makan apa, nak belanja. Betul (belanja), kawan Syafiq ada datang rumah hantar makanan.

“Arwah juga berhasrat mendirikan rumah tangga tetapi mak cik nasihat tangguh dulu sebab baru kerja dan arwah bersetuju…arwah memang jenis ikut cakap mak. Kita sayang anak tapi Allah lebih menyayangi dia, mak cik reda,” ujarnya.

Terdahulu, Konstabel Muhammad Syafiq dan Konstabel Ahmad Azza Fahmi Azhar dilaporkan meninggal dunia susulan ditembak oleh seorang suspek yang dipercayai ada hubungkait dengan gerakan Jemaah Islamiah (JI).

Seorang lagi anggota mengalami kecederaan parah dan sedang dirawat di hospital manakala suspek berjaya ditembak mati.

Kredit: Bernama

 

[fbcomments]