Seorang bekas anggota komando dari Bangi kini melalui fasa kehidupan yang jauh berbeza selepas disahkan menghidap kanser pada tahun 2023, sekali gus memaksanya menghentikan gaya hidup aktif yang pernah menjadi rutin hariannya.
Mohd Azuan Asmuni, 40, yang sebelum ini cergas dalam pelbagai aktiviti lasak, kini memberi fokus sepenuhnya kepada rawatan perubatan susulan komplikasi kesihatan yang dialami.
![]()
Dari Pejuang Negara Ke Pejuang Kanser, Azuan Tidak Pernah Mengalah
Isterinya, Salwani Suhaida Mukhtar, 46, memaklumkan Azuan menjalani rawatan kemoterapi di Hospital Ampang sebelum melalui prosedur pemindahan (transplan). Namun selepas transplan, beliau berdepan beberapa komplikasi serius termasuk jangkitan kuman pada paru-paru, kencing berdarah serta ulser.
![]()
Keadaan itu dikenal pasti sebagai Graft-versus-host disease (GvHD), iaitu komplikasi selepas pemindahan yang memberi kesan kepada beberapa fungsi tubuh. Akibatnya, penglihatan Azuan menjadi kabur, pendengarannya merosot dan beliau tidak lagi mampu berjalan jauh kerana mengalami sesak nafas. Pada Disember tahun lalu, beliau juga pernah ditidurkan selama tiga hari susulan masalah paru-paru kronik yang serius.
![]()
Menurut Salwani, perubahan fizikal suaminya ketara sejak menjalani rawatan, termasuk penurunan berat badan serta perubahan pada kulit akibat kesan kemoterapi. Dalam keadaan kesihatan yang semakin mencabar, Azuan tetap berusaha mengekalkan kekuatan diri dan tidak mengabaikan ibadah solat.
Tiga anak mereka yang berusia 10, lapan dan empat tahun menjadi sumber semangat utama buatnya. Salwani turut mengakui dia sendiri perlu menguatkan emosi demi menguruskan keperluan suami yang kini banyak bergantung kepadanya untuk urusan rawatan dan pemeriksaan kesihatan.
![]()
Sebelum sakit, Azuan dikenali sebagai individu aktif dalam bidang sukan ketahanan. Beliau merupakan bekas atlet triathlon dan ahli kumpulan sukan lasak Angkatan Tentera Malaysia (ATM). Antara pencapaiannya termasuk memegang rekod sebagai individu pertama menawan Gunung Tahan dalam tempoh enam jam 29 minit, selain mampu berlari antara tiga hingga lima kilometer setiap hari.
![]()
Kini, selain meneruskan rawatan, beliau turut berkongsi pengalaman di media sosial bagi meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai kepentingan menjaga kesihatan, pemakanan seimbang serta kekuatan mental ketika melalui rawatan penyakit kronik. Pasangan itu berharap perkongsian tersebut dapat memberi dorongan kepada pesakit lain agar terus berusaha dan tidak berputus asa.
Kredit: Sinar Harian, TikTok mohdazuanasmuni