Usahawan dan juga suami kepada penyanyi Adira iaitu Datuk Seri Adnan Abu atau lebih dikenali sebagai Datuk red, 46, memaklumkan bahawa beliau telah melantik peguam daripada Tetuan Hawari Hanafi & Co untuk membantunya dalam menyelesaikan hutang yang mencecah sehingga RM7 juta.
Datuk Red Lantik Peguam
Memetik laporan Mstar, Datuk Red meminta tempoh masa maksimum selama lima tahun bagi menyelesaikan kesemua hutang yang beliau ada.
“Hampir RM7 juta dan lebih 100 orang yang saya berhutang, tapi saya tak mampu nak bayar sepenuhnya terus sekarang. Tapi ada cara dan prosedurnya untuk mereka tuntut hutang pada saya dengan hubungi peguam kemudian kita ikut cara yang sepatutnya supaya ada ketelusan dalam membayar hutang ini.
“Saya tak suka salahkan orang, saya salahkan diri sendiri. Jadi saya jangkakan hutang saya mungkin akan langsai dalam tempoh lima tahun, InsyaAllah,” katanya ketika ditemui pada sidang media perlantikan peguam bagi isu hutangnya di kediaman Datuk Wira Dr. Azizan Osman di Shah Alam, Selangor baru-baru ini.
Mohon Beri Masa Dan Ruang Untuk Selesaikan Isu Hutang
Dalam pada itu, Datuk Red juga berharap agar mana-mana individu yang terlibat dapat memberikannya sedikit masa dan waktu untuk beliau mengembalikan semula wang kepada mereka.
“Saya harap mangsa-mangsa bersabar, beri masa dan ruang. Boleh hubungi peguam saya untuk dapatkan kembali duit mereka. Saya dah cuba macam-macam usaha sejak lima tahun lepas, tapi Allah SWT berikan jalan lebih-lebih lagi selepas temu bual bersama mStar, inilah jalan terakhir saya untuk jelaskan hutang saya.
“Andai kata dah selesai semua hutang, Allah nak cabut nyawa saya pun tiada masalah,” luahnya.
Untuk info, pada 26 Mac yang lalu Datuk Red mendedahkan bahawa beliau telah diisyhtihar muflis sejak 2019 dan tidak mempunyai pekerjaan tetap sejak lima tahun yang lepas.
Sejak daripada itu, beliau terpaksa ditanggung oleh isteri keduanya iaitu Adira memandangkan beliau tidak mempunyai pendapatan.
Kredit: Mstar