Siapa sahaja yang tidak kenal akan penyanyi nombor satu negara iaitu Datuk Seri Siti Nurhaliza. Selain berbakat besar, Siti juga merupakan inspirasi buat ramai kerana sikapnya yang sopan santun dan baik.
Selain berjaya dalam karier nyanyiannya, Tokti juga melangkah maju dalam bidang perniagaan kosmetik miliknya.
Menurut Remaja, Datuk Siti ada berkongsi 5 rahsia dimurahkan rezeki ketika membuat siaran langsung di TikTok miliknya.

Betulkan Niat
Siti berkata, niat penting sebelum melakukan sesuatu perkara.
“Saya begini, apa yang kita dah buat yang Allah beri kita rezeki melimpah ruah kerana bagi kita, kita lakukan ini tidak sehebat mana-mana orang yang buat lebih besar da hebat daripada saya. Namun, saya percaya nawaitu kita itu penting. Setiap apa yang kita lakukan adalah niat kerana Allah,” ujarnya.
Bersedekah
Selain itu, Siti berkata amalan yang hebat ialah dengan bersedekah.
“Selain itu, amalan saya dan juga suami selalu lakukan adalah bersedekah. Itu yang membuatkan rezeki tidak putus kerana saya percaya apabila kita memberi ‘tidak akan papa kepada orang yang bersedekah’,”
“Bagi saya, amalan yang sangat hebat adalah bersedekah, ia membuatkan kita dimurahkan rezeki,” kongsinya lagi.

Senyum
Siti juga berpesan untuk senyum dan bersikap positif dalam menghadapi masalah.
“Selalu juga senyum, masalah ada pun tidak mengapa kerana setiap orang ada masalah termasuk saya. Tetapi saya lebih suka apabila datang masalah, selagi kita boleh cuba selesaikan, selesaikan dengan cara baik.
Bersangka Baik
“Selain daripada itu, kita harus sentiasa bersangka baik. Bukan kerana bersangka baik itu untuk orang lain, tetapi bagi diri kita sendiri. Bila bersangka baik, akan baik-baik sahaja yang jadi kepada kita.
Mengeluarkan Zakat
Yang terakhir ialah Siti memesan untuk mengeluarkan zakat.
“Tambahan lagi, zakat jangan tinggal. Segala tanggungjawab yang kita perlu buat sebagai hamba Allah,” tambah Siti.
Sumber: Remaja