Kehidupan kanak-kanak dari Pulau Tioman baru-baru ini menarik perhatian ramai apabila sebuah video di TikTok memaparkan kisah mereka yang perlu tinggal di asrama seawal usia tujuh tahun demi mendapatkan pendidikan yang lebih baik.

Menerusi perkongsian seorang wanita dikenali sebagai Sha, situasi ini bukan sesuatu yang luar biasa bagi anak-anak dari pulau tersebut. Faktor utama yang menyebabkan mereka perlu tinggal di asrama adalah kerana sekolah yang terhad serta jarak perjalanan jauh yang memerlukan mereka menaiki bot setiap hari.

@amiechadaenia

kehidupan anak pulau , duduk asrama seawal tujuh tahun , setiap malam angah menangis rindukan adek , tapi angah pun pernah lalui semua tuu .. seawal tujuh tahun dah kena berdikari sendiri .. tak ada mak ayah yang sanggup berjauhan dengan anaknya , tapi demi menuntut ilmu , inilah caranya 💗 #anakpulau #fyp

♬ Unconditionally X Strong – AdeGrande3435

Demi Ilmu, Kanak-Kanak Di Pulau Tioman Terpaksa Tinggal Di Asrama Seawal Usia Tujuh Tahun

Dalam video yang tular itu, keluarga seorang kanak-kanak membuat kejutan dengan melawatnya pada minggu pertama persekolahan. Tangisan rindu dan emosi yang menyentuh hati jelas terpancar, menggambarkan betapa besar pengorbanan yang perlu dilakukan oleh keluarga demi masa depan anak-anak mereka.

Difahamkan, pelajar yang menetap di asrama ini bersekolah di Kampung Tekek, Pulau Tioman. Bagi mereka yang berasal dari Kampung Paya, satu-satunya cara untuk ke sekolah adalah dengan menaiki bot, yang bukan sahaja memakan masa tetapi turut berisiko tinggi terutama ketika cuaca buruk.

Keadaan laut yang tidak menentu, termasuk hujan lebat dan laut bergelora, sering menjadi cabaran utama dan boleh mengancam keselamatan pelajar jika mereka terpaksa berulang-alik ke sekolah setiap hari. Oleh itu, tinggal di asrama menjadi pilihan terbaik agar mereka dapat meneruskan pembelajaran tanpa gangguan.

Sha turut berkongsi bahawa perkara ini bukanlah sesuatu yang asing bagi keluarganya kerana dia sendiri pernah tinggal di asrama sejak berusia tujuh tahun hingga tamat tingkatan lima.

Kisah ini mendapat perhatian netizen yang rata-ratanya baru menyedari cabaran yang dihadapi oleh anak-anak pulau dalam menuntut ilmu. Rata-rata mereka meluahkan rasa kagum terhadap ketabahan pelajar-pelajar ini serta mendoakan agar mereka terus kuat dan berjaya dalam pelajaran.

Kredit: TikTok amiechadaenia, Kosmo!

 

 

[fbcomments]