Seorang suri rumah didakwa di Mahkamah Majistret Ipoh, Perak hari ini atas tuduhan membunuh anak perempuan rakan baiknya yang baru berusia lima tahun.

“Kenapa Buat Anak Aku Macam Tu?”

Menurut laporan Buletin TV3, ibu kandung kepada kanak-kanak perempuan yang mati dibunuh itu tidak mengerti mengapa anaknya diperlakukan sebegitu dengan kejam. ‘Kenapa buat anak aku macam tu?’ adalah ungkapan pertama yang keluar dari mulut Siti Nurhidayatul Akmar Mohd Zamry, 28, ketika mengikuti prosiding pendakwaan dalam Mahkamah Majistret hari ini ketika tertuduh bagi kes itu dibawa keluar dari kamar mahkamah.

Tertuduh yang bernama Wan Fatimah Zahra Wan Abdullah, 28, hanya mengangguk tanda faham ke atas pertuduhan membunuh kanak-kanak itu yang dikemukakan terhadapnya di hadapan Majistret, S Punitha.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan berikutan kes bunuh di bawah bidang kuasa perbicaraan Mahkamah Tinggi.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa membunuh dengan menyebabkan kematian terhadap Iman Adelia Yusullah, 5, di sebuah rumah di Jalan Kledang Raya 23, Taman Malcop, Silibin antara tempoh 5 Jun hingga 10 Jun 2024.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman mati atau dipenjarakan di antara 30 hingga 40 tahun dan minimum 12 kali sebatan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Vatchira Wong Rui Fern, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Tertuduh Kawan Baik Dengan Ibu Kandung Mangsa Sejak Zaman Sekolah

Difahamkan, Siti Nur Hidayatul Akmar dan tertuduh, Wan Fatimah Zahra, telah bersahabat baik sejak zaman persekolahan. Mangsa, yang merupakan anak ketiga daripada empat beradik, telah diserahkan kepada penjagaan Wan Fatimah Zahra sejak April lalu kerana Siti Nur Hidayatul Akmar ingin membantu sahabat baiknya yang telah lama berkahwin tetapi belum dikurniakan anak.

“Saya menyesal bagi anak itu dibelanya (oleh tertuduh). Dua ke tiga hari sebelum meninggal (hari kejadian), memang dia (tertuduh) ada kata nak hantar balik kepada saya, tetapi akhirnya yang saya dapat anak saya dalam keadaan sudah tak bernyawa,” katanya.

Sebelum ini, polis menahan sepasang suami isteri pada 10 Jun lalu bagi membantu siasatan kes pembunuhan seorang kanak-kanak perempuan berusia 5 tahun yang merupakan anak angkat mereka yang mati dipercayai kerana didera di Taman Malcop, Silibin.

Kredit: Buletin TV3

[fbcomments]