fbpx

Baru-baru media melaporkan seorang bayi lelaki disahkan maut selepas dipercayai didera sampai mati oleh bapa kandungnya sendiri di mana bayi malang itu dipercayai dipukul, kepala dihentak pada sofa selain mulutnya disumbat dengan kain dan badan dibedung serta ditinggalkan tertiarap dalam bilik gelap tanpa pengawasan sebelum ditemukan meninggal dunia.

Lelaki Didakwa Atas Kes Bunuh Anak

Terbaharu, suspek yang juga merupakan bapa kepada bayi terbabit iaitu Mohamad Aizat Samin, 25, didakwa di Mahkamah Majistret Bandar Baru Bangi hari ini atas tuduhan membunuh anak kandung lelakinya berusia enam bulan di sebuah unit pangsapuri pada Ahad lalu.

Tertuduh hanya mengangguk faham sebaik pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Majistret Nurdiyanah Mohd Nawawi. “Faham,” katanya ringkas.

Mengikut pertuduhan, suspek didakwa membunuh bayi yang bernama Muhammad Aysar Wildan Mohamad Aizat yang berusia enam bulan di sebuah unit Pangsapuri Baiduri di Bandar Tasik Kesuma, Beranang pada 14 April lalu antara jam 8 malam hingga 7.40 pagi, 15 April lalu.

Berikutan itu, suspek didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun serta sebatan tidak kurang 12 sebatan.

Timbalan Pendakwa Raya Siti Nur Liyana Mohd Sulaiman tidak menawarkan sebarang jaminan dan memohon satu tarikh untuk laporan kimia, toksikologi dan forensik tempat kejadian manakala tertuduh diwakili peguam Arif Azmi.

Mahkamah kemudian tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan 28 Mei ini bagi sebutan semula kes.

Suspek turut dilaporkan positif dadah jenis syabu dan direman selama tujuh hari untuk siasatan lanjut.

Kredit: Harian Metro

[fbcomments]