Seorang kanak-kanak perempuan yang bernama Siti Dhia Batrisyia Mohd Chairil Anuar, 12, yang dilaporkan hilang sejak Selasa lalu telah ditemukan dalam keadaan selamat di Sri Rampai awal pagi tadi.
Ditemukan Selamat Di Sebuah Restoran Mamak
Berdasarkan sumber yang dilihat dari Majoriti Official, ibu kepada kanak-kanak terbabit iaitu Syarifah Rosfazila Syed Muhammad Fazili memaklumkan bahawa anaknya itu ditemukan oleh orang awam pada jam 2.20 pagi sambil dirinya merayau bersendirian di sebuah restoran mamak.
Menurut Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya memberitahu Dhia ditemukan selamat oleh orang awam yang ada berdekatan dengannya ketika itu.
“Sebelum ini, kita mendapat maklumat yang menyatakan kanak-kanak itu berada di sekitar Sri Rampai. Susulan maklumat itu, pasukan kami berjumpa dengan Kawasan Rukun Tetangga (KRT) kawasan itu bagi mendapatkan maklumat, kira-kira 1 pagi tadi. Kami kemudian dihubungi ibu mangsa memaklumkan ada orang awam yang menemukan kanak-kanak berkenaan merayau bersendirian di lokasi terbabit,” jelas Noor Dellhan.
Takut Kena Marah Dengan Ibu Sebab Ponteng Sekolah
Dalam pada itu, ibu Dhia turut menceritakan bahawa anaknya itu enggan pulang ke rumah selama hampir enam hari disebabkan takut dimarahi olehnya kerana ponteng sekolah pada Selasa yang lalu. Syarifah Rosfazila meluahkan rasa syukur selepas mengetahui keberadaan anaknya itu.
“Saya dengan rendah hati meminta maaf dan berterima kasih dekat semua yang bantu dan doakan,” ujarnya.
Sebelum ini media melaporkan bahawa seorang kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun itu hilang dari rumahnya di Perumahan Awam Sri Selangor, Jalan San Peng, Kuala Lumpur sejak 12 Mac lalu. Ibunya berkata kali terakhir dia bersama anaknya itu adalah di kediaman mereka di sekitar Pudu kira-kira jam 4 petang.
Kredit: Majoriti Official