Mohd Farizza Azmi Abdullah iaitu abang kepada Allahyarhamah Nur Farah Kartini mendedahkan bahawa dia sempat bertemu dengan suspek di Slim River, Perak, pada hari keempat kehilangan adiknya.
Dalam pendedahan yang dibuat di rancangan 999 saluran TV3, Farizza berkata bahawa dia bertemu dengan suspek selepas mengetahui bahawa kali terakhir adiknya kelihatan bersama individu tersebut melalui rakaman CCTV.
@areesyakhalim “Saya tak tahu, tak contact dia…” itu dakwaan suspek sewaktu berjumpa dengan abangnya pada hari ke-4 Farah Kartini dilaporkan hilang… Tonton Video Penuh di Youtube 999 TV3 Malaysia. Pembunuhan Tragis Farah Kartini #999tv3 #999 #tv3 #fyp #farahkartini
Abang Allahyarhamah Sempat Berjumpa Suspek
Menurut Farizza, dia menemui suspek di sebuah kedai makan untuk bertanyakan mengenai adiknya. Walau bagaimanapun, suspek hanya menjawab bahawa dia tidak tahu apa-apa mengenai keberadaan Farah Kartini.
“Saya jumpa dia di kedai makan dan tanya, ‘Ada ambil adik saya? Kalau ada, tolong pulangkan. Kalau tak ada, tak apa.’ Dia jawab tak tahu. Saya juga tanya, ‘Tak ada rasa nak cari ke?’ Dia kata, ‘Ada, tengah usaha nak cari,'” kata Farizza.
Farizza, 28, turut menjelaskan bahawa walaupun mereka berborak seperti biasa, dia dapat melihat ketakutan di wajah suspek. Farizza tidak menyangka bahawa individu itu rupanya mempunyai kaitan dengan kematian adiknya yang dipercayai dibunuh.
Farizza juga mengakui bahawa dia mula mengesyaki suspek sebagai pihak yang bertanggungjawab terhadap kematian adiknya. Ini kerana suspek cuba mengelak untuk menunjukkan mesej perbualan antara mereka serta rakaman dashcam keretanya. Tambahan pula, suspek banyak memburukkan nama arwah adiknya ketika mereka berjumpa.
“Saya dah mula syak dia. Sebab saya tahu adik saya kali terakhir dengan dia. Kita periksa CCTV, kereta terakhir yang dilihat adalah kereta dia. Bila nak tengok mesej semua, dia kata dah padam. Dashcam pun hilang. Tapi dia banyak memburukkan adik saya masa kita jumpa tu,” dedah Farizza.
Pendedahan ini telah dikongsikan di saluran YouTube TV3 yang melaporkan kejadian jenayah tragis yang berlaku pada minggu lalu dan mengejutkan negara.
Terdahulu, Nuur Farah Kartini Abdullah, bekas penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), dilaporkan hilang pada 10 Julai 2024 selepas menghantar kereta sewa kepada pelanggan. Pada 15 Julai 2024 sekitar jam 6 petang, mayat yang dipercayai milik wanita berusia 25 tahun itu ditemui di ladang kelapa sawit Kampung Sri Kledang, Hulu Selangor dalam keadaan hampir reput dan dipercayai dibunuh.
Susulan kejadian tersebut, pihak berkuasa telah menahan seorang anggota polis berusia 26 tahun yang bertugas di sebuah balai polis di Slim River.
Kredit: Youtube TV3 Malaysia Official, TikTok areesyakhalim