Tragedi pembunuhan pelajar perempuan di sebuah sekolah di Bandar Utama, Petaling Jaya, baru-baru ini masih meninggalkan kesan mendalam kepada warga sekolah, khususnya guru dan pelajar yang berada di lokasi kejadian.
Antara yang masih trauma ialah rakan sekelas mangsa yang mahu dikenali sebagai Adam, yang menceritakan kembali detik mencemaskan sebelum rakannya, Yap Shing Xuen, 16, ditemukan maut dalam kejadian berdarah itu.
Video di bawah:
https://www.chinapress.com.my/?p=4630435
Rakan Kelas Cerita Detik Akhir Yap Shing Xuen Sebelum Tragedi Tikaman di Sekolah
Menurutnya, mangsa pada mulanya meminta izin untuk ke tandas semasa peperiksaan sedang berlangsung namun tidak lagi kembali ke kelas selepas lebih 20 minit. Bimbang dengan keadaannya, guru mereka turun untuk memeriksa sebelum terlihat seorang pelajar lelaki yang kini menjadi suspek, berdiri di kawasan tapak perhimpunan sambil memegang sebilah pisau dalam keadaan mencurigakan.
“Kami kemudian diarahkan menutup pintu dan tidak dibenarkan keluar,” kata Adam kepada wartawan ketika menghadiri upacara penghormatan terakhir Yap di Nirvana Center Kuala Lumpur, semalam. Katanya lagi, abang kepada suspek bersama beberapa guru bertindak pantas menahan remaja terbabit sebelum diserahkan kepada pihak polis.
Adam turut menyifatkan Yap sebagai seorang yang penyayang, sopan dan gemar membantu rakan, malah mereka sudah berkawan sejak Tingkatan 1. Dia mengakui tidak mengenali suspek secara peribadi dan mengaku masih sukar menerima kenyataan atas kehilangan rakan sekelasnya itu.
Sebelum ini, ibu mangsa, Wong Lee Ping, mendedahkan bahawa anaknya mengalami 200 kesan tikaman pada tubuh hasil laporan bedah siasat yang diterimanya. Polis mengesahkan suspek lelaki berusia 14 tahun kini direman untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Kredit: China Press