Usahawan dan personaliti media sosial, Jofliam, kembali mencetus perdebatan di ruang maya apabila kenyataannya mengenai penggunaan epidural ketika bersalin dianggap tidak sensitif dan mencetus rasa kurang senang dalam kalangan netizen, khususnya golongan ibu.
Video di bawah:
https://www.instagram.com/reel/DIoLpdTvKey/?utm_source=ig_web_button_share_sheet
Jofliam Dikecam Lepas Dakwa Ibu Bersalin Guna Epidural Sebagai ‘Cheatcode’
Semuanya bermula apabila bekas isterinya, Cik Epal, memuat naik satu hantaran yang menunjukkan mesej peribadi (DM) daripada Jofliam kepada seorang individu. Dalam mesej itu, Jofliam menyifatkan penggunaan epidural oleh Cik Epal ketika melahirkan dua anak mereka, Han dan Yuki, sebagai ‘cheatcode’.
Kenyataan tersebut dikatakan dibuat sebagai reaksi terhadap mesej individu berkenaan yang menasihatinya agar tetap menghargai pengorbanan bekas isteri walaupun mereka sudah berpisah.
Selepas mesej itu tular semula, seorang doktor perubatan, Dr Raihana Ismail, tampil menegur kenyataan tersebut menerusi platform Threads. Beliau menjelaskan bahawa epidural bukanlah jalan pintas atau ‘mudah’, sebaliknya satu kaedah penting untuk membantu ibu bersalin mengurangkan kesakitan serta mengelakkan komplikasi dan trauma.
Menyedari isu ini semakin tular dan dikecam ramai, Jofliam akhirnya tampil memohon maaf secara terbuka menerusi Instagram Story. Katanya, mesej tersebut sebenarnya dihantar empat bulan lalu dan apabila dibaca semula, dia mengakui tidak sepatutnya menulis kenyataan begitu.
Sebagai tanda permohonan maaf, Jofliam juga menawarkan bunga dan piza berbentuk hati secara percuma kepada para ibu hamil yang membeli piza daripada perniagaannya. Ini katanya sebagai penghargaan buat semua ibu yang sanggup berkorban nyawa untuk melahirkan zuriat.
Kredit: Instagram cikepal06