fbpx

Seorang bayi perempuan yang baru sahaja dilahirkan ditemui dalam kotak sambil badan berbalut dengan kain batik, dipercayai dibuang di tepi jalan berhampiran Gua Tempurung pada Ahad.

Bayi Masih Bertali Pusat Ditemui Di Tepi Jalan

Menurut Ketua Polis Daerah Kampar iaitu Superintenden Mohamad Nazri Daud, beliau memaklumkan bahawa bayi tersebut ditemui dalam keadaan masih bernyawa dan cukup sifat dengan kesan darah bersama tali pusat dan uri.

Katanya, polis menerima maklumat berhubung penemuan bayi terbabit pada jam 3.15 petang daripada dua pekerja yang secara kebetulan melalui kawasan berkenaan untuk melihat lembu peliharaan.

“Ketika menghampiri kawasan itu, mereka ternampak kaki seperti kaki bayi terkeluar dari sebuah kotak yang diletakkan di tepi simpang masuk sebuah pusat pengajian al-quran dan pusat pemulihan akhlak.

“Curiga dengan keadaan itu, mereka mendekati kotak berkenaan sebelum melihat seorang bayi perempuan ditinggalkan hanya dengan berbalut kain,” jelasnya.

Baru Ditinggalkan Kurang 12 Jam Sebelum Dijumpai

Tambah Mohamad Nazri lagi, siasatan awal mendapati bayi malang itu berkemungkinan baru ditinggalkan di lokasi kejadian kurang 12 jam sebelum dijumpai. Jelasnya, buat masa ini polis masih membuat siasatan termasuk di sekitar tempat kejadian bagi mengesan suspek terlibat.

“Kawasan penemuan merupakan laluan awam dan tidak berpagar. Tiada rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang boleh membantu siasatan. Polis juga telah menjalankan pemeriksaan ke atas tiga penghuni wanita di pusat pengajian itu dan didapati, tiada tanda-tanda telah melahirkan bayi,” katanya.

Bayi berkenaan dilaporkan kini berada dalam keadaan stabil dan telah mendapatkan rawatan lanjut di Hospital Kampar. Kes disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran.

Kredit: Sinar Harian

[fbcomments]