Seorang lelaki yang dikehendaki polis berhubung kes pembunuhan seorang wanita hamil tujuh bulan pada tahun 2022 akhirnya berjaya diberkas selepas tiga tahun menjadi pelarian.
![]()
Lelaki Buruan Kes Bunuh Wanita Hamil Akhirnya Dicekup Selepas Tiga Tahun Melarikan Diri
Suspek, Zulhakimy Aiman Suhairuddin, 24, yang lebih dikenali sebagai Aimay, ditahan bersama seorang rakan lelaki sebaya oleh anggota Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA) dalam satu operasi pada jam 7 malam, Rabu.
Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Kama Azural Mohamed berkata, penahanan itu dibuat selepas pihaknya mengesan sebuah kenderaan dalam keadaan mencurigakan sebelum menahan dua lelaki di dalamnya.
“Siasatan lanjut mendapati salah seorang daripada mereka adalah suspek yang sedang diburu berkaitan kes tembak wanita hamil tiga tahun lalu.
“Hasil ujian air kencing juga menunjukkan kedua-duanya positif dadah jenis methamphetamin,” katanya dalam kenyataan.
![]()
Suspek kini direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Terdahulu, negara digemparkan dengan kes pembunuhan tragis seorang wanita hamil tujuh bulan, Farrah Emirah Mazlan, 26, yang ditemukan mati dalam sebuah kereta di Kampung Repek, Pasir Mas.
Mangsa, seorang peniaga, ditemui tidak sedarkan diri dalam posisi terbaring di tempat duduk pemandu kereta jenis Nissan Cefiro miliknya. Pemeriksaan polis mendapati terdapat kesan tembakan pada perut kiri mangsa.
Hasil siasatan awal mendapati kejadian berlaku ketika mangsa sedang dalam perjalanan untuk berurut di Kampung Teresek, sebelum mayatnya ditemui kira-kira 15 kilometer dari rumahnya di Kampung Bukit Lata.
Polis turut menemukan satu kelongsong peluru dalam kenderaan mangsa, dipercayai daripada pistol semi auto jenis .380.
Kredit: Kosmo!