Ibu bapa kepada kanak-kanak autisme Zayn Rayyan hari ini mengaku tidak bersalah atas pertuduhan bunuh, namun didakwa atas pertuduhan pengabaian ke atas anak mereka hingga mungkin menyebabkan kecederaan.

Bagaimanapun, terdapat sesetengah individu yang menganggap pasangan suami isteri termasuk di bawah pertuduhan penderaan. Oleh yang demikian, peguam yang mewakili mereka tampil perjelas tentang dakwaan yang dikenakan terhadap Zaim Ikhwan Zahari dan isterinya, Ismanira Abdul Manaf.

Pendakwaan Langsung Tidak Menyebut Tentang Penderaan

Menurut laporan Mstar, difahamkan pendakwaan yang dikenakan ke atas ibu bapa Zayn Rayyan sama sekali tidak menyebut tentang penderaan terhadap kanak-kanak autisme itu.

Peguam Fahmi Abd Moin tampil menjelaskan pasangan tersebut hanya didakwa atas pertuduhan mengabaikan kanak-kanak sahaja.

“Dalam pertuduhan tak sebut tentang penderaan, tapi pengabaian. Ia (pengabaian) merupakan terma yang luas. Dalam pertuduhan hanya pengabaian, bukan penderaan,” katanya.

Fahmi memaklumkan perkara tersebut dalam sidang media bersama seorang lagi peguam iaitu Mahmud Abdul Jumaat di Kompleks Mahkamah Petaling Jaya pada Khamis.

“Sebutan ditetapkan 26 Julai 2024 bagi tujuan pihak pendakwaan serah dokumen pendakwaan kes ini dan kami akan hadir bersama anak guam.

“Kami juga tak dapat apa-apa bukti lagi setakat ini. Hanya dapat kertas pendakwaan saja. Lepas 26 Julai nanti baru dapat,” ujarnya.

Terdahulu, Zaim Ikhwan Zahari dan isterinya, Ismanira Abdul Manaf didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama.

Mereka bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas pertuduhan mengabaikan kanak-kanak berusia enam tahun itu pada Disember tahun lalu.

Susulan itu Hakim Mahkamah Sesyen, Dr Syahliza Warnoh membenarkan kedua-dua tertuduh dibebaskan dengan ikat jamin RM10,000 setiap seorang.

Pertuduhan terhadap Zaim dan Ismanira dibuat selepas tempoh reman selama 13 hari berakhir pada Khamis.

Kredit: Mstar

[fbcomments]