fbpx

Baru-baru ini tular di media sosial yang memaparkan pihak Universiti Malaya (UM) didakwa telah menjemput seorang profesor pro-Israel yang bernama Bruce Gilley untuk memberi ceramah dalam satu program.

KPT Arah UM Batal Segala Program Bersama Individu Terbabit Dengan Serta Merta

Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) yang diwakili Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir memaklumkan bahawa KPT sudah mengambil maklum berhubung perkara tersebut dan sudah mengarahkan agar sebarang program dan aktiviti dijadualkan dihadiri individu terbabit dibatalkan segera.

Pada masa yang sama, Zambry turut mengarahkan universiti berkenaan menyiasat perkara itu dan melaporkan segera butiran lanjut.

“Suka untuk saya ingatkan kepada setiap agensi dan institusi di bawah KPT agar peka, berhati-hati dan membuat semakan latar belakang dengan teliti sebelum menjemput individu atau pihak ke majlis dan program.

“Setiap keputusan yang diambil perlu mengambil kira sensitiviti dan selari dengan polisi serta pendirian kerajaan.

“Walaupun IPT diberi autonomi untuk memutuskan program-program intelektual, tetapi itu bukan bermakna institusi bebas secara mutlak sehingga tidak mengambil kira sensitiviti masyarakat dan majoriti rakyat Malaysia,” jelasnya.

Untuk info, Gilley merupakan Profesor Politik dan Hal Ehwal Global di Universiti Portland, Amerika Syarikat.

Gilley menerusi akaun miliknya di laman X turut memberikan pandangan kontroversi yang membidas pendirian Kerajaan dalam kemelut Israel-Palestin.

Selain itu, Gilley turut mempunyai bendera Israel sebagai gambar latar belakang akaun media sosialnya yang jelas menunjukkan sokongan profesor itu kepada rejim Zionis.

Kredit: Majoriti Official

[fbcomments]