Seorang pempengaruh media sosial dikenali sebagai CEO Batu dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan melakukan amang seksual bukan fizikal terhadap seorang remaja perempuan berusia 13 tahun pada Mei lalu.

CEO Batu Mengaku Tidak Bersalah Lakukan Amang Seksual

Tertuduh, Muhamad Iqbal Muhamad Nor, 22, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Norshila Kamarudin.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa melakukan perbuatan berunsur amang seksual bukan fizikal dengan niat untuk dilihat oleh mangsa, dalam kejadian yang berlaku kira-kira jam 1.16 pagi, 16 Mei lalu di sebuah unit kediaman di Sunway Batu Caves, Gombak.

Kes dikendalikan di bawah Seksyen 15(a)(i) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun, denda maksimum RM20,000, atau kedua-duanya sekali jika disabitkan bersalah.

Timbalan Pendakwa Raya, Nadiah Malek Fauzie, mencadangkan jaminan sebanyak RM10,000 dikenakan terhadap tertuduh. Bagaimanapun, peguam bela, Mohd Aniq Rafih, memohon jumlah itu dikurangkan atas alasan anak guamnya tidak berkemampuan.

Menurutnya, tertuduh hanya memperoleh pendapatan kira-kira RM3,000 sebulan sebagai pempengaruh dan ketika ini tidak lagi aktif selepas akaun media sosialnya digantung dan telefon bimbitnya dirampas oleh pihak berkuasa.

Tambah beliau, anak guamnya turut menanggung datuk yang sedang uzur serta menghidap penyakit jantung dan kencing manis.

Selepas mempertimbangkan permohonan kedua-dua pihak, mahkamah membenarkan jaminan sebanyak RM6,000 dengan seorang penjamin. Tertuduh juga dikenakan syarat tambahan iaitu perlu melapor diri setiap bulan di balai polis berdekatan dan dilarang sama sekali mengganggu saksi pihak pendakwaan.

Mahkamah menetapkan 14 Ogos depan untuk sebutan semula kes bagi serahan dokumen.

Sebelum ini, nama tertuduh menjadi perhatian selepas penyanyi dan pempengaruh, Caprice, mendedahkan mesej berunsur lucah yang didakwa dihantar kepada seorang remaja perempuan. Caprice turut mendedahkan bahawa ibu kepada remaja itu menghubunginya untuk mendapatkan bantuan selepas anaknya menerima mesej tidak senonoh termasuk gambar yang dikatakan bertujuan menunjukkan parut pembedahan.

Kredit: Harian Metro

[fbcomments]