Seorang murid lelaki darjah lima yang didenda berjemur di padang sekolah oleh gurunya pada 30 April yang lalu dikatakan berkemungkinan akan dinilai sebagai Orang Kelainan Upaya (OKU) selepas mengalami masalah kesihatan susulan kejadian tersebut.
Hospital Ampang Keluarkan Surat Rujukan
Memetik laporan Harian Metro, difahamkan ibu mangsa yang bernama AD Mogahana Selvi, 35, memaklumkan bahawa pihak Hospital Ampang telah mengeluarkan surat rujukan anaknya selepas mangsa didapati mengalami masalah saraf disebabkan strok haba.
“Terus terang cakap saya sakit hati bila tengok keadaan anak tidak macam biasa. Dulu dia kerap bermain dengan abang dan adiknya, sekarang dia banyak menyorok dan bercakap sendiri.
“Pihak hospital juga memaklumkan kepada saya bahawa anak sudah tidak boleh belajar di sekolah biasa akibat masalah kesihatan dialaminya dan minta saya hantarnya ke sekolah khas selepas ini,” katanya.
Anak Alami Masalah Strok Haba, Keluarga Ambil Tindakan Undang-Undang
Susulan kejadian itu, peguam yang mewakili keluarga berkenaan iaitu Dinesh Muthal akan mengemukakan saman sivil terhadap semua pihak yang terbabit dalam kes yang dikemukakan.
“Kes ini memberi tekanan kepada ibu bapa mangsa terutamanya Mogahana yang kini mengandung tiga bulan, apabila terpaksa menerima hakikat yang kehidupan normal anaknya sudah berubah.
“Disebabkan itu selain tuntutan sivil, kami mahu guru terbabit dituduh di mahkamah dan dikenakan tindakan setimpal (jika disabitkan),” jelasnya.
Dalam pada itu, Pengerusi Persatuan Pemas, S Dayalan yang turut hadir dalam sidang media semalam memaklumkan rasa ketidakpuasan hati dengan tindakan pihak sekolah dalam menanggapi kes berkenaan.
Mereka juga mempersoalkan tiga surat amaran yang dikeluarkan pihak sekolah dan yang terakhir diterima pada 23 Mei lalu terhadap mangsa kerana tidak hadir ke sekolah dalm tempoh dua minggu.
“Tetapi dalam tempoh itu, isu murid terbabit yang dijemur tidak dibincangkan dengan ibu bapa kanak-kanak berkenaan,” ujarnya.
Terdahulu, ibu kepada kanak-kanak terbabit memberitahu bahawa anaknya telah didenda dengan berjemur di padang sekolah bersama rakannya yang lain oleh seorang guru dari masa 10 pagi hingga 12 tengah hari. Menurut kenyataan dari ibu mangsa, selepas pulang dari sekolah anaknya tidak bermaya dan tiada selera makan akibat kejadian berkenaan.
Susulan daripada itu, dia telah membawa anaknya melakukan pemeriksaan di Hospital Ampang dan doktor mengesahkan dia mengalami ”heat exhaustion”.
Kredit: Harian Metro