fbpx

Seorang kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun dilaporkan maut selepas dipercayai ditimpa dan dihempap batu bata dinding yang baru dibina di belakang dapur rumahnya, dalam kejadian di Kampung Padang Lalang Besah, Mukim Tawar, Kuala Ketil pada Isnin.

Maut Ditimpa Batu Bata

Berdasarkan maklumat dari Harian Metro, Ketua Polis Daerah Baling iaitu Superintendan Shamsudin Mamat memaklumkan bahawa pihaknya ada menerima panggilan berhubung kejadian daripada pegawai perubatan sebuah klinik pada jam 12 tengah hari semalam. Katanya, kejadian tersebut berlaku pada jam 10.30 pagi dan mangsa disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Klinik Kesihatan Tawar, berdekatan kediaman mereka.

Menurut maklumat yang diperoleh dari bapa mangsa, beliau hanya mengetahui mengenai kejadian selepas dihubungi isterinya pada tengah hari semalam yang memaklumkan anak mereka ditimpa batu bata.

“Ketika kejadian, bapa mangsa yang berusia 39 tahun bekerja di sebuah kilang di sini, manakala ibu kanak-kanak itu memasak di dapur,” katanya.

Berlaku Pendarahan Di Badan Mangsa

Tambah Shamsudin lagi, ibu mangsa terdengar bunyi kuat kira-kira jam 10.30 pagi dan mendapati seluruh badan mangsa sudah ditimpa konkrit yang dibina hingga menyebabkan berlakunya pendarahan di badannya.

“Adik mangsa turut ditimpa dengan batu-bata dinding berkenaan di belakang badan, namun hanya mengalami cedera ringan sahaja. Kemudian, ibu mereka kemudian meminta bantuan daripada jiran untuk menghantar kedua-dua anaknya itu ke Klinik Kesihatan Tawar. Namun, sebaik tiba di klinik berkenaan, doktor mengesahkan salah seorang anaknya iaitu mangsa sudah meninggal dunia,” jelasnya.

Mayat kanak-kanak itu kemudiannya dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar, untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001.

Difahamkan, ibu mangsa sudah beberapa kali memberi amaran dan menasihatkan dua anaknya supaya tidak bermain di sekitar kawasan pembinaan tambahan ruang dapur yang sedang dibina oleh bapa mereka.

Kredit: Harian Metro

[fbcomments]