Kemenangan Bell Ngasri yang membawa trofi Bintang Paling Popular di Anugerah Bintang Paling Popular Berita Harian (ABPBH) yang ke-35 semalam sudah dapat diramal. Ditambah dengan sorakan Yak Yak Yee! yang lagi meriuhkan Istana Budaya telah membuktikan pelakon dan pelawak itu memenangi trofi istimewa dan sekaligus beliau berjaya menepati ramalan peminatnya.
Pernah Dihina Ketot Oleh Pengarah
Walaupun sudah merasa kemanisan semalam, Bell Ngasri ini sudah juga merasa kepahitan yang dialami. Berdasarkan sumber yang dipetik dari Berita Harian, beliau memaklumkan bahawa dirinya pernah dihina ketot oleh seorang pengarah sewaktu di lokasi pengambaran. Namun beliau sama sekali tidak mengambil hati, bahkan beliau jadikan penghinaan tersebut sebagai satu pembakar semangat untuk beliau terus kekal di dunia industri.
“Sepanjang hidup saya sebagai artis, saya banyak melalui pahit manis. Pernah ada yang berkata kepada saya ‘macam ni ke jadi artis, badan ketot macam kau ni?’. Demi Allah, ini memang betul terjadi. Pengarah berkata begitu ada dalam panggung tadi. Kalau awak yang kena macam mana? Sudah tentu ia akan melunturkan semangat diri. Tetapi Alhamdulilah ini adalah satu bukti kepada mereka yang pernah buat begitu pada saya”, ujarnya semalam.
Tidak Pernah Rasa Dengki Terhadap Kejayaan Orang Lain
Beliau juga mengatakan bahawa walau apa terjadi, beliau tidak pernah berasa dengki dengan artis lain yang mempunyai masa depan lebih cerah daripadanya. Beliau akan terus memberi sokongan dan dorongan kepada mereka walaupun mungkin ada diantara mereka yang tidak mempedulikan kewujudannya.
“Walaupun orang pernah buat tak peduli kepada saya, tetapi saya tetap suka nak bantu untuk naikkan orang lain. Kalau nak ada perasaan dengki sejak dulu lagi saya boleh nak dengki dengan orang. Tetapi saya bersyukur tiada sedikit pun perasaan dengki dalam diri. Saya lagi seronok sokong kawan-kawan saya yang lain seperti Zizan Razak, Johan dan Achey. Alhamdulilah sekarang ini mereka juga menyokong saya”, tambahnya lagi.
Bell Ngasri yang juga mendapat sokongan daripada masyarakat dan rakan artis mengakui beliau tidak mempunyai kelab peminat seperti artis lain, namun beliau bersyukur dan berterima kasih kepada mereka yang sudi mengundinya semalam.
Kredit: Berita Harian