Seorang bayi lelaki berusia enam bulan dilaporkan maut selepas dipercayai telah menjadi mangsa dera dan dibunuh oleh bapanya sendiri dalam kejadian di sebuah unit kediaman dekat Pangsapuri Baiduri, Bandar Tasik Kesuma, Beranang kelmarin.
Bayi Ditemukan Dalam Keadaan Tidak Sedarkan Diri Dan Meninggal Dunia
Memetik laporan Buletin TV3, polis telah menerima maklumat daripada seorang lelaki yang memaklumkan bahawa bayi berkenaan ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri di unit kediaman terbabit pada jam 8.52 pagi.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kajang iaitu Superintendan Mohamad Nasir Drahman memberitahu mangsa disahkan meninggal dunia dan hasil pemeriksaan awal mereka tidak menemui sebarang kecederaan pada tubuhnya.
“Mayat bayi kemudian dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Kajang untuk proses bedah siasat. Hasil bedah siasat, pakar mengesahkan kecederaan mangsa bukan disebabkan kemalangan tetapi disebabkan perbuatan jenayah ke atas mangsa,” katanya.
Susulan kejadian itu, polis telah menahan bapa bayi berkenaan yang merupakan seorang lelaki tempatan berusia 25 tahun pada jam 11.30 malam hari kejadian untuk membantu siasatan lanjut.
Isteri Dedah Suami Dera Anak Hingga Menyebabkan Kematian
Dalam pada itu, ibu kepada bayi malang yang mahu dikenali sebagai Siti, 20, mendedahkan bahawa bayinya maut akibat disyaki didera oleh suaminya yang memukul dan menghentak kepala mangsa pada sofa, selain menyumbat mulut mangsa dengan kain dengan badan dibedung. Bukan itu sahaja, malah suspek turut meninggalkan mangsa tertiarap dalam bilik gelap tanpa pengawasan sebelum bayi itu ditemukan meninggal dunia.
Siti turut memberitahu ketika kejadian, dia dan anak sulungnya yang berusia dua tahun ke rumah keluarga mentua manakala suaminya itu tinggal bersama anak bongsu di kediaman mereka.
“Suami beritahu mahu menjaga anak bongsu di rumah, jadi saya siapkan kelengkapan bayi sebelum tinggalkan mereka. Apabila pulang, suami beritahu bayi sedang tidur dalam bilik dan dia tidak benarkan saya masuk ke dalam bilik. Tidak lama kemudian, saya dengar anak menangis dengan kuat dan saya mahu masuk ke bilik tapi suami marah. Akibat takut dipukul, saya hanya duduk di sofa walaupun saya sangat risaukan keadaannya.
“Saya bersama anak sulung tertidur di sofa dan apabila bangun pagi itu saya segera berlari ke bilik untuk lihat keadaan Aysar. Saya angkatnya dan dapati dia sudah tidak sedarkan diri dengan badan kemerah-merahan. Saya tak sangka dia sanggup bunuh anak kami. Selama ini saya pertahankan anak apabila didera sehinggakan saya turut cedera dipukulnya,” luahnya ketika ditemui.
Siti kemudiannya menjerit memanggil suami sebelum lelaki itu menghubungi keluarganya dan talian kecemasan 999 untuk bantuan. Bagaimanapun, katanya, bayi terbabit disahkan meninggal dunia dan dibawa ke Unit Forensik Hospital Kajang untuk proses bedah siasat.
Suspek Pernah Pukul Isteri Dan Anak-Anak Sebelum Ini
Siti dimaklumkan oleh doktor bahawa terdapat kesan kecederaan di tengkorak kepala bayinya dipercayai akibat dihentak dengan objek tumpul.
“Suami memang pernah pukul saya dan anak-anak sebelum ini. Arwah anak saya itu pernah ditampar dan dipukul serta mulut disumbat kain oleh suami.
“Saya kerap bergaduh dengan suami kerana mempertahankan anak sehingga beberapa kali saya turut menjadi mangsa pukulannya. Saya tidak pernah menceritakan perbuatan suami itu pada keluarga,” katanya sambil mengatakan dia baru mengetahui suaminya terbabit dengan penyalahgunaan dadah.
Siti di akhir kata mengharapkan agar suaminya itu mendapat pengajaran dan balasan yang setimpal kerana tergamak membunuh anaknya sendiri.
Kredit: Buletin TV3, Harian Metro