Seorang wanita mengalami kecederaan di beberapa bahagian badannya selepas dia diragut di Persiaran Raja Muda Musa berhadapan Sekolah Menengah Kebangsaan Raja Zarina di Klang, Selangor pada Isnin lalu.
Diragut Atas Jalan Semasa Tunggang Motosikal
Berdasarkan laporan Berita Harian, Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong memaklumkan bahawa pihaknya menerima laporan daripada mangsa yang berumur 20 tahun pada jam 4.34 petang hari sama.
“Siasatan mendapati, kejadian jam 8.50 pagi ketika mangsa yang menunggang motosikal dalam perjalanan ke tempat kerja. Semasa melalui lokasi kejadian, tiba-tiba suspek yang menaiki sebuah motosikal datang dari arah belakang mendekati mangsa dan menarik beg yang disilang di badan mangsa. Akibat situasi itu, mangsa hilang kawalan lalu terjatuh dari motosikal ke jalan serta cedera,” katanya.
Mengalami Kerugian Kira-Kira RM3,000
Tambah Hoong Fong lagi, hasil siasatan mendapati mangsa mengalami kecederaan luka di kedua-dua belah tapak tangan serta bahu kiri dan sudah menerima rawatan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang.
“Siasatan lanjut mendapati, beg silang mangsa yang diragut oleh suspek mengandungi telefon bimbit jenis iPhone 14 berwarna ungu, dompet berisi dokumen peribadi serta wang tunai sebanyak RM114.
“Motosikal mangsa mengalami kerosakan calar di bahagian coverset. Jumlah kerugian dianggarkan kira-kira RM3,000,” jelasnya.
Suspek adalah seorang lelaki dewasa menunggang motosikal dipercayai jenis Yamaha Y15 warna gelap.
Polis kini sedang dalam usaha mengenal pasti suspek kejadian ini dan tangkapan akan dibuat dalam masa terdekat. Polis membuka satu kertas siasatan mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan.
Kredit: Berita Harian