Seorang wanita ditemui maut dan dipercayai dibunuh dengan kejam dalam keadaan separuh bogel di kawasan semak sebuah kebun di Kampung Pisang pada hari ini.
Disamun Dan Dirogol Hingga Menyebabkan Kematian
Berdasarkan sumber yang dipetik dari Berita Harian, difahamkan mangsa yang berusia 36 tahun itu yang bekerja sebagai penebar roti canai telah disamun dan dirogol sebelum ditemui tidak bernyawa oleh ahli keluarganya sekitar jam 8.15 pagi tadi.
Menurut Ketua Polis Daerah Lahad Datu Asisten Komisioner Dr Rohan Shah Ahmad, beliau memaklumkan bahawa mangsa ditemui oleh ahli keluarga kira-kira 600 meter dari kediamannya.
“Polis tidak menolak kemungkinan mangsa turut dirogol. Hal ini berdasarkan kesan air mani yang ditemukan pada bahagian kemaluan mangsa. Kita turut mendapati telefon bimbit dan wang tunai yang terdapat di dalam dompet mangsa juga didapati hilang,” jelasnya dalam kenyataan yang dibuat hari ini.
Tidak Datang Kerja, Keluarga Cari Mangsa Sekitar Rumah Dan Terjumpa Mayat Mangsa Di Kawasan Semak
Mengulas lanjut, Rohan Shah turut menjelaskan bahawa mangsa yang merupakan ibu kepada lima cahaya mata keluar dari rumahnya pada jam 6.15 pagi untuk bekerja sebagai penebar roti canai di sebuah restoran, manakala suami mangsa pula bekerja di Semenanjung.
“Sudah menjadi rutin harian mangsa menggunakan laluan pejalan kaki di kawasan semak kebun pisang terbabit untuk pergi dan balik kerja. Bagaimanapun, pemilik restoran kemudiannya menghubungi keluarga mangsa untuk mengetahui keberadaanya kerana tidak hadir ke tempat kerja. Sangsi dengan makluman itu, ahli keluarga mangsa terus berusaha mencari wanita berkenaan sebelum menemui mayatnya di kawasan semak terbabit,” katanya lagi.
Rohan Shah berkata, mayat mangsa yang dipercayai wanita warga asing dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Lahad Datu bagi tujuan bedah siasat dan siasatan lanjut.
Kredit: Berita Harian