fbpx

Seorang wanita berusia 28 tahun ditemui maut di bilik tidurnya di Indera Mahkota pada petang Rabu, dalam satu insiden yang disyaki melibatkan unsur jenayah.

Penemuan tragis ini berlaku selepas bapa mangsa yang bekerja sebagai peniaga gagal menghubungi anaknya sejak kali terakhir mereka berbalas mesej pada jam 8.30 pagi hari yang sama.

Ditemui Maut Dalam Bilik Tidur, Ada Kesan Jerutan Pada Leher

Menurut Ketua Polis Daerah Kuantan iaitu Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu, mayat mangsa ditemui oleh ibu mentuanya kira-kira jam 7.30 petang dengan kesan jerutan pada lehernya. Suami mangsa yang juga merupakan seorang warga China, segera menghubungi pihak berkuasa untuk melaporkan penemuan tersebut.

Mangsa tinggal di rumah tersebut bersama suaminya, anak lelaki berusia tiga tahun, serta adik ipar perempuan. Mayatnya telah dibawa ke Unit Forensik Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) untuk menjalani proses bedah siasat.

Susulan kejadian, polis telah menahan empat ahli keluarga termasuk suami dan ibu mentua mangsa yang berusia antara 27 hingga 62 tahun untuk membantu siasatan.

Kes ini disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang berkaitan dengan kesalahan membunuh.

Sebelum ini, tular di Facebook mengenai kehilangan seorang suri rumah yang kemudiannya ditemui tidak bernyawa di dalam rumahnya sendiri.

Kredit: Sinar Harian

[fbcomments]