Dua beranak ditemui tidak bernyawa dalam sebuah rumah di Taman Rambai Mutiara, Bukit Rambai pagi tadi, manakala seorang lagi ahli keluarga dilaporkan cedera parah dalam insiden yang kini disiasat sebagai kes bunuh.
![]()
Guru Wanita & Anak Ditemui Maut Dalam Rumah
Dalam kejadian sekitar jam 6 pagi itu, seorang lelaki dipercayai berusia 13 tahun ditemui oleh orang awam dalam keadaan berlumuran darah dan terbaring di jalan hadapan rumah teres satu tingkat tersebut. Susulan penemuan itu, pihak polis menerima laporan sebelum bergegas ke lokasi kejadian.
Hasil pemeriksaan lanjut di dalam rumah menemui mayat seorang wanita dipercayai guru berusia lingkungan 50-an dan anak sulungnya, lelaki berusia 21 tahun. Kedua-duanya ditemukan dalam keadaan berlumuran darah di ruang tamu rumah dan disahkan telah meninggal dunia oleh pasukan perubatan dari Hospital Melaka.
Mangsa ketiga yang juga anak bongsu kepada wanita tersebut telah dikejarkan ke hospital bagi mendapatkan rawatan lanjut akibat kecederaan parah.
![]()
Difahamkan, seorang lagi anak dalam keluarga tersebut, iaitu remaja lelaki berusia 17 tahun, baru tiba di rumah pada pagi kejadian.
Setakat jam 9 pagi, lokasi kejadian masih dalam kawalan pihak berkuasa dengan pasukan forensik sedang menjalankan siasatan lanjut. Turut kelihatan di lokasi ialah Timbalan Ketua Polis Melaka, Senior Asisten Komisioner Ahmad Jefferi Abdullah dan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Leow Kian Heong.
Polis dijangka mengadakan sidang media berhubung insiden itu dalam masa terdekat bagi memberi maklumat lanjut kepada orang ramai.
Kredit: Sinar Harian