Akibat mengasari warga emas, seorang pemilik dan pembantu rumah kebajikan ditahan polis selepas dipercayai memukul seorang lelaki berusia 70 tahun yang juga merupakan penghuni rumah tersebut dengan menggunakan kayu.
https://vt.tiktok.com/ZSFcm62uU/
Pukul Penghuni Rumah Sebab Nyanyuk
Memetik laporan Sinar Harian, Ketua Polis Daerah Kulim iaitu Superintendan Mohd Azizul Mohd Khairi memaklumkan bahawa pihak mereka menerima laporan daripada seorang wanita pada jam 3.50 petang, Rabu berkaitan kes terbabit.
“Kita telah menjalankan siasatan dan menahan lelaki tempatan berusia 44 tahun yang merupakan pemilik rumah kebajikan terbabit dan seorang perempuan tempatan berusia 36 tahun yang juga pembantu rumah kebajikan berkenaan,” katanya.
Tambah Mohd Azizul lagi, hasil siasatan mendapati punca kejadian adalah disebabkan mangsa yang berusia 70 tahun sering mendatangkan masalah kerana mengalami masalah nyanyuk.
“Bagaimanapun pihak polis masih menyiasat jika terdapat mangsa-mangsa lain yang turut dipukul di rumah kebajikan berkenaan,” ujarnya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan jika disabitkan kesalahan, mereka boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebat.
“Pihak polis juga menasihati orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian ini kerana siasatan masih diteruskan.
“Kepada orang ramai sekiranya mempunyai maklumat berkenaan jenayah boleh disalurkan terus kepada Ibu Pejabat Polis Daerah Kulim,” jelasnya di akhir kata.
Kredit: Sinar Harian