Seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun kini dalam keadaan kritikal di Hospital Pulau Pinang (HPP) selepas tercekik gula-gula kenyal berbentuk mata yang dibelinya di luar kawasan sekolah.
Murid Tercekik Gula-Gula Mata, Kini Bertarung Nyawa di Hospital Pulau Pinang
Kejadian itu dikongsikan oleh ibu saudara kanak-kanak berkenaan iaitu Fara Hani, menerusi hantaran di Facebook. Menurutnya, anak saudaranya, Mohamad Fahmi Hafiz, masih tidak sedarkan diri dan sedang menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi Pediatrik (PICU) di hospital berkenaan.
“Ya Allah, semoga ada keajaiban buat Mohamad Fahmi Hafiz. Dia kini dalam keadaan kritikal dan belum sedarkan diri selepas tercekik coklat gummy berbentuk mata yang dibelinya di luar kawasan sekolah ketika menghadiri kelas KAFA,” tulisnya dalam hantaran tersebut.
Menurut laporan, kejadian berlaku apabila seorang guru sekolah menyedari bahawa Fahmi mengalami kesukaran bernafas sebelum dia rebah secara tiba-tiba dalam perjalanan ke tandas.
Guru tersebut segera mendapatkan bantuan pasukan perubatan dan sempat melakukan panggilan video dengan mereka untuk memeriksa keadaan kanak-kanak itu. Hasil pemeriksaan mendapati terdapat gula-gula yang tersangkut di dalam tekaknya.
Lebih menyedihkan, semasa menerima pakaian Fahmi dari pihak hospital, keluarganya menemui sebiji lagi gula-gula sama dalam poket bajunya, menimbulkan persoalan mengenai keselamatan produk makanan yang dijual berhampiran sekolah.
Buat masa ini, doktor yang merawat Fahmi memaklumkan bahawa tiada perkembangan positif dalam keadaannya. Sekiranya masih tiada tindak balas sehingga Jumaat ini, pihak perubatan akan menghentikan pemberian ubat.
Dalam pada itu, ibu bapa kanak-kanak tersebut memilih untuk tidak mengulas mengenai kejadian buat masa ini, sementara keluarga dan orang ramai terus mendoakan agar Fahmi kembali pulih seperti sediakala.
Kredit: Berita Harian