Seorang lelaki berusia 53 tahun disahkan meninggal dunia selepas dipercayai ditendang oleh seekor lembu hingga tercampak ke dalam sungai berhampiran kawasan Ladang Batu 2, Kerling pada Sabtu lalu.

Video di bawah:

https://www.instagram.com/reel/DLyqDo-PuRb/?igsh=MXFjbHo0Y2h6eDV2Yw==

Lelaki Maut Selepas Diterajang Lembu, Tercampak ke Sungai di Hulu Selangor

Insiden yang berlaku kira-kira jam 7.55 pagi itu turut dirakam dalam satu video tular yang menunjukkan mangsa sedang menunggang motosikal sebelum diserang secara tiba-tiba oleh lembu tersebut ketika melalui kawasan ternakan.

Mangsa ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri oleh beberapa pekerja warga asing yang berada berhampiran lokasi kejadian. Mereka segera mendapatkan bantuan dan memaklumkan kepada pasukan perubatan terdekat.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintenden Ibrahim Husin memaklumkan, seorang penolong pegawai perubatan yang hadir ke lokasi mengesahkan mangsa masih mempunyai nadi ketika ditemui.

“Rawatan awal termasuk bantuan pernafasan (CPR) telah diberikan di tempat kejadian sebelum mangsa dikejarkan ke hospital untuk rawatan lanjut. Namun, beliau disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital,” katanya dalam satu kenyataan.

Hasil pemeriksaan awal ke atas tubuh mangsa mendapati terdapat kesan kecederaan pada bahagian dahi.

“Bedah siasat yang dijalankan kemudian mengesahkan punca kematian adalah kecederaan otak traumatik yang serius dipercayai akibat jatuh dari tempat tinggi,” katanya lagi.

Kes berkenaan diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) dan pihak polis menasihati orang awam supaya lebih berhati-hati ketika berada di kawasan ternakan terbuka atau tidak berpagar.

Kredit: mStar

[fbcomments]