Di Kuantan, tiga beradik ini terpaksa tinggal bersama bapa saudaranya dalam rumah yang kotor dan tidak terurus dengan ditemani 13 ekor anjing selepas ditinggalkan ibunya sejak tiga tahun lalu.
Rumah dipenuhi anjing & najis
Menerusi Sinar Harian, ibu kepada tiga kanak-kanak perempuan berusia 8, 9 dan 12 tahun itu bekerja di Singapura atau Johor Bahru dan sudah tiga tahun tidak pulang. Bapa mereka yang bekerja di Hutan Kuala Rompin pula memang jarang pulang ke rumah.
Ekoran daripada itu, tiga beradik ini terpaksa berdikari menjalani kehidupan sendiri dalam rumah yang berbau busuk dipenuhi najis anjing . Malah mereka juga sering kelaparan kerana bapa saudaranya itu hanya pulang pada waktu malam.
Bila ke sana, kita dapati rumah dipenuhi anjing, berbau busuk dengan najis haiwan dan tidak terurus. Tiga beradik ini tidur di atas lantai bersama haiwan ternakan terbabit. Jadi, kita bimbang dengan keadaan tiga beradik ini tambahan pula mereka sering kelaparan dan hanya makan mi segera sementara menunggu bapa saudaranya pulang.
Menurut Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Cina Taman Tas, Yeoh Kok Bin, pihak sekolah sudah mengunjungi rumah tiga beradik itu sebanyak dua kali.
Jalan kaki 800 meter sehari ke sekolah
Difaham ketiga-tiga beradik ada mendapat bantuan daripada pelbagai pihak, namun mereka kerap tidak hadir ke sekolah sehingga menyebabkan prestasi pelajaran mereka sangat lemah.
Kita difahamkan ketiga-tiga adik beradik ini terpaksa berjalan kaki sejauh 800 meter untuk ke sekolah setiap hari.
Tambahan pula, ayahnya hanya membekalkan RM50 setiap seorang untuk seminggu bagi membolehkan mereka menampung kehidupan sehari-hari.
Kini ketiga-tiga beradik akan ditempatkan di tempat yang lebih selamat buat sementara waktu.