Seorang pelajar lelaki Tingkatan Tiga mengalami kecederaan serius pada bahagian mata selepas dipercayai ditumbuk oleh rakan sekelas dalam kejadian yang berlaku di sebuah sekolah menengah di Sungai Petani pada Isnin lalu.

Pelajar Tingkatan 3 Muntah & Mata Bengkak, Dakwa Ditumbuk Rakan Sekelas Depan Guru

Insiden itu hanya diketahui oleh bapa mangsa selepas menerima panggilan daripada pihak sekolah sekitar jam 12.30 tengah hari yang meminta beliau datang mengambil anaknya.

Setibanya di sekolah, bapa mangsa mendapati anaknya dalam keadaan lemah dengan simptom sakit kepala, muntah dan mata kiri yang membengkak. Mangsa kemudian dihantar ke hospital dan hasil pemeriksaan menunjukkan berlaku pendarahan dalaman pada matanya akibat hentakan kuat dipercayai ditumbuk.

Menurut sumber, kejadian dikatakan berpunca daripada salah faham antara mangsa dan beberapa pelajar lain ketika sesi pembelajaran berlangsung. Difahamkan, mangsa yang ketika itu sedang membaca buku telah bertukar tempat duduk selepas diganggu beberapa rakan sekelas. Namun, seorang daripada mereka bertindak mengambil bukunya, sehingga mencetuskan pertengkaran yang berakhir dengan serangan fizikal.

Apa yang lebih membimbangkan, kejadian berlaku di dalam kelas di hadapan seorang guru praktikal yang baharu bertugas di sekolah itu sejak sebulan lalu.

Susulan kejadian, bapa pelajar terbabit telah membuat laporan polis dan menyatakan tidak akan menarik semula laporan tersebut, meskipun sudah mengadakan pertemuan dengan keluarga pelajar yang memukul anaknya bersama pihak sekolah.

Beliau turut memaklumkan bahawa anaknya pernah mengadu menjadi mangsa buli sebelum ini dan berharap pihak berkuasa dapat menialankan siasatan secara menyeluruh serta memastikan tindakan undang-undang diambil terhadap mereka yang terlibat.

Kredit: Kosmo!

 

[fbcomments]