fbpx

Dr Sassitharan yang pernah berkhidmat sebagai doktor di hospital kerajaan selama 9 tahun sebelum diberhentikan akibat ketagihan dadah, membuktikan dirinya mampu bangkit dan terus menyumbang kepada masyarakat, khususnya ketika negara berperang dengan pandemik Covid-19.

Mula kenali syahbu

Lelaki berusia 40 tahun itu yang lebih mesra dengan panggilan Sassi di Persatuan Pengasih berkata, seorang rakannya di sebuah hospital memperkenalkan dadah jenis syabu kepadanya tanpa memberitahu beliau apakah bahan itu.

“Jadi, apa yang berlaku adalah bila saya cuba, sewaktu bangun dari tidur saya menjadi sangat bertenaga. Ketika itu, saya juga tidak tahu ia adalah dadah jenis syabu kerana bentuk fizikalnya sama seperti ubat yang digunakan untuk rawatan resdung.

“Selepas mengetahui ia adalah dadah jenis syabu, pada hari seterusnya saya katakan pada diri, saya akan mengawal penggunaannya memandangkan saya adalah seorang doktor perubatan yang tahu akan kesan dan akibatnya.”

Daripada tingkatkan prestasi kerja akhirnya…

Bermula dengan hanya menggunakan syabu untuk tujuan meningkatkan prestasi kerjanya ketika berkhidmat di sebuah hospital di Johor, dia kemudian menggunakannya di luar waktu kerja, termasuk ketika memandu.

“Saya mula mengambilnya setiap hari, sampai ke satu tahap saya tidak boleh teruskan kehidupan tanpa dadah. Kemudian saya berpindah ke Muar, sebuah kawasan luar bandar yang tidak ramai orang. Sampailah saya ditahan dalam satu sekatan jalan raya dilakukan polis.”

Sassi berkata, dadah turut mengubah personalitinya daripada individu yang ceria, suka bergaul dengan masyarakat dan mesra bersama keluarga, kepada seorang individu hidup dalam penafian dan badannya semakin kurus.

“Dadah membuatkan hidup saya keseorangan, saya mengasingkan diri dan hidup dalam penafian. Apabila keluarga bertanya mengenai diri, saya lawan balik hujah mereka dan bertegas saya tahu apa yang saya lakukan kerana saya seorang doktor perubatan.”

Secara sukarela ke Persatuan Pengasih

Namun, selepas menyedari perbuatannya salah dan tidak memberi manfaat buat dirinya, beliau secara sukarela ke Persatuan Pengasih untuk menjalani rawatan dan kini menjadi doktor “in house” kepada persatuan itu.

Sassi kemudiannya berusaha mentelaah kembali ilmu perubatan yang pernah dipelajarnya di sebuah universiti di Rusia dan bekerja di sebagai doktor lokum di Kampung Baru, Kuala Lumpur.

“Namun, saya tetap akan pulang ke Pengasih selepas waktu kerja selesai. Semasa berkhidmat sebagai doktor lokum, gaji saya dibayar mengikut jumlah waktu yang saya bekerja.

Ingin berkhidmat lagi dalam kerajaan

“Saya berharap sekiranya diberikan peluang kedua kepada saya. Jika boleh, saya mahu berkhidmat lagi dalam kerajaan,” katanya yang juga berhasrat menyambung semula pendidikan ke peringkat ijazah sarjana.

Selepas episod hitam itu, beliau bertekad tidak kembali ke kancah ketagihan dadah dan rutin hariannya berubah sejak 2 bulan lalu selepas membantu Kementerian Kesihatan (KKM) merawat pesakit Covid-19 secara sukarela.

Babitkan diri dalam sukarelawan

“Apabila wabak Covid-19 menyerang negara, kerajaan memerlukan lebih tenaga kerja doktor. Jadi, saya libatkan diri sebagai sukarelawan untuk berkhidmat kepada negara. Di situ, saya diberi peluang sebagai petugas barisan depan di Hospital Kuala Lumpur.

“Saya seorang daripada doktor yang membuat ujian saringan untuk pesakit Covid-19. Selepas itu, saya diberikan kepercayaan dan dihantar ke Pusat Rawatan dan Kuarantin Pesakit Covid-19 di Taman Ekspo Pertanian (MAEPS), Serdang.”

[fbcomments]