Sejua dua menjak ini, terlalu banyak berita sedih yang kita terima akibat musim hujan dan banjir yang berlaku di negara kita.
Meskipun banjir berlaku setiap tahun,kita tidak boleh mengambil remeh akan perkara ini. Penting untuk kita persiapkan diri dengan ilmu medikal yang mudah dan dapat kita gunakan pada waktu kecemasan.
Pengarah Perubatan dan Pemilik Klinik Iris, Dr Arisman Wenge Abdul Rahman telah berkongsi serba sedikit tentang langkah-langkah yang boleh diambil.
Menurut Dr Aris dalam laporan mStar, kematian mengejut akibat renjatan elektrik berlaku apabila arus elektrik mencecah 75MA menyebabkan pemfibrilan ventrikel (serangan jantung) yang boleh membawa maut.
Jadi, langkah-langkah yang boleh diambil ialah:
- Hindari penggunaan peralatan elektrik
- Pastikan suis utama ditutup bagi mengelakkan renjatan elektrik
- Hubungi 15454 atau Facebook TNB Careline untuk memutuskan bekalan elektrik rumah jika paras air semakin meningkat.
- Jangan cuba mematikan kuasa melalui kotak pemutus ketika sedang berdiri di dalam air. Dapatkan bantuan profesional.
- Ketika badan basah, rintangan elektrik pada permukaan kita menjadi rendah. Ini akan meningkatkan risiko untuk anda terkena renjatan. Maka elakkan menyentuh peralatan elektrik ketika badan basah.
- Jangan sesekali menggunakan peralatan perkakasan elektrik ketika ia basah.
- Jangan melangkah masuk ke dalam bilik yang dimasuki air jika terdapat pelbagai jenis barangan elektrik, wayar dan alur keluar elektrik.
- Pakai sarung tangan getah atau kain sentiasa. Kenapa getah? Kerana getah adalah pengalir elektrik yang lemah. Ia akan menghalang arus daripada mengalir ke badan.
- Pakai kasut but getah jika keluar atau berjalan di dalam banjir.

Selain itu, jika berdepan dengan kes lemas melibatkan kanak-kanak, orang ramai perlu mengambil tindakan segera dengan melakukan Cardiopulmonary Resuscitation atau CPR.
Ini merupakan langkah-langkah yang dikongsi Dr Arisman.
- Bawa mangsa ke tempat yang selamat, jangan panik!
- Baringkan mangsa dan jika boleh tanggalkan baju mangsa.
- Periksa kesedaran mangsa, kejutkan mangsa dengan cara jeritan atau sentuhan kuat (pukulan tidak mencederakan, misalnya pada bahu mangsa).
- Periksa nafas dan nadi mangsa. Lihat pada dada sama ada mengembang atau tidak. Atau dekatkan telinga pada hidung mangsa untuk memeriksa sama ada mangsa sedang bernafas normal atau tidak.
- Jika tidak pasti sama ada bernafas atau tidak, atau bernafas tetapi seperti tidak normal dan mangsa masih tidak sedarkan diri, lakukan CPR.
- Jika kanak-kanak, tidak perlu tekan terlalu dalam lebih dua inci. Yang penting adalah kompresi tersebut secepat yang boleh iaitu lebih kurang 100-120 kali per minit.
- Jika bibir bertukar menjadi biru, itu tanda memang tidak bernafas dan bekalan oksigen sudah jatuh paling rendah. Lakukan CPR.
- Setiap dua minit, periksa semula kesedaran mangsa. Tengok pada respons mangsa. Jika masih tidak ada respons, segera sambung CPR lagi!
- Lakukan CPR sehingga bantuan ambulans tiba.
Sumber:mStar