Seorang doktor dari Malaysia disahkan meninggal dunia selepas ditemukan tidak bernyawa di kawasan pergunungan Dolomites, Itali, pada 19 Julai lalu, selepas dilaporkan hilang ketika menjalani aktiviti pendakian seorang diri sehari sebelumnya.
![]()
Doktor Malaysia Maut Selepas Terjatuh Ketika Mendaki Gunung Di Itali
Mangsa dikenali sebagai Dr Khaw Bee Ling, 60, yang merupakan pakar perubatan dari Metro Specialist Hospital, Sungai Petani, Kedah. Beliau dikatakan memulakan pendakian bersama seorang rakan sebelum memilih untuk berpisah haluan, meneruskan perjalanan menuju ke puncak secara bersendirian.
Menurut laporan media tempatan Itali, Dr Khaw sempat menghantar mesej kepada rakannya untuk memaklumkan bahawa dia telah tersesat, namun tiada komunikasi lanjut diterima selepas itu. Rakannya kemudian bertindak melaporkan kejadian tersebut kepada pihak berkuasa tempatan, sekali gus mencetuskan operasi pencarian segera.
Pasukan penyelamat dilaporkan menggerakkan operasi besar-besaran menggunakan helikopter, dron dengan kamera terma, anjing pengesan dan pasukan khas penyelamat gunung bagi menjejaki mangsa.
![]()
Hasil pencarian menemui mayat Dr Khaw di dasar tebing berbatu, dipercayai terjatuh hampir 100 meter selepas tergelincir di kawasan curam dan licin. Ketika ditemukan, mayat mangsa tersepit di celah batu dan kemudiannya dibawa keluar oleh pasukan penyelamat menggunakan helikopter.
Menurut pihak berkuasa Itali, kejadian dipercayai berlaku apabila Dr Khaw tersasar dari laluan bertanda di sebelah Belluno di kawasan pergunungan tersebut. Mayat mangsa telah dibawa ke rumah mayat di Cortina d’Ampezzo bagi menjalani proses lanjut oleh pihak berwajib.
Kredit: News Strait Times