Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad memaklumkan bahawa beliau kini berada dalam keadaan sihat dan telah kembali menjalankan rutin hariannya seperti biasa selepas mendapatkan rawatan susulan di hospital.

Video di bawah:
https://x.com/chedetofficial/status/1944637487743455417

Letih Ketika Program, Dr Mahathir Jelaskan Keadaan Kesihatan Kini Sudah Pulih

Menerusi satu rakaman video yang dimuat naik di akaun media sosial rasminya, Dr Mahathir menjelaskan bahawa beliau terpaksa meninggalkan Program Picnic & Potluck di Tasik Putrajaya lebih awal semalam atas nasihat doktor.

Menurut beliau, keletihan yang dirasai ketika menghadiri program tersebut menyebabkan doktor menyarankan agar beliau mendapatkan pemeriksaan segera di hospital.

“Saya mohon maaf kerana tidak dapat bersama di waktu kita ada piknik (Picnic & Potluck) yang mana banyak ribu orang hadir. Tetapi oleh kerana saya rasa terlalu letih dan terpaksa berehat. Doktor suruh pergi hospital, saya pergilah tetapi baliklah (dibenarkan pulang petang) sekejap saja di hospital,” katanya dalam video tersebut.

Rakaman itu turut menunjukkan beliau berada dalam keadaan baik dan sedang melakukan tinjauan di sekitar Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), sekali gus memberi gambaran bahawa tahap kesihatannya kini stabil.

Terdahulu, media melaporkan bahawa Dr Mahathir dilihat keletihan semasa program santai anjuran orang ramai bersempena sambutan ulang tahun kelahirannya yang ke-100 serta ulang tahun ke-99 isterinya, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali.

Walaupun keadaan fizikalnya kelihatan sedikit letih, Dr Mahathir sempat menyempurnakan aktiviti kayuhan basikal secara tandem sejauh lapan hingga sembilan kilometer mengelilingi kawasan tasik dengan kawalan keselamatan yang ketat.

Kredit: Harian Metro, X chedetofficial

[fbcomments]