Baru-baru ini dua beradik lelaki yang berusia dua dan tiga tahun dilaporkan berada dalam keadaan kritikal selepas mereka tidak sengaja mengambil dan memakan keropok yang mengandungi racun tikus dalam kejadian di Kampung Padang Ubi, Labu Besar, Kulim.
Ibu mereka yang berusia 25 tahun, menyedari kejadian itu sekitar jam 11 pagi di rumah sebelum segera membawa mereka ke Klinik Kesihatan Malau dan Hospital Kulim (HK) untuk rawatan lanjut.
Dua Beradik Dalam Keadaan Kritikal
Ketua Polis Daerah Kulim iaitu Superintendan Mohd Azizul Mohd Khairi menjelaskan bahawa siasatan awal menunjukkan kedua beradik itu mengambil keropok yang tergantung di dawai besi pagar, yang ternyata mengandungi racun yang sepatutnya digunakan untuk perangkap monyet.
“Kedua-dua mangsa dipercayai membuka dan makan makanan ringan itu. Tidak lama kemudian ibu mangsa kemudian mendapati anak-anaknya muntah dan mulut berbuih pada jam 11 pagi,” jelas pihak polis.
Berikutan kejadian itu, nenek kepada Muhammad Akil Syauqi Abdul Rahman, berusia 3 tahun, dan Muhammad Luth Syauqi Abdul Rahman, berusia 2 tahun, mengungkapkan rasa kesal terhadap apa yang berlaku terhadap kedua-dua cucunya itu.
Nenek Kesal Cucu Jadi Mangsa Keracunan
Menurut nenek mereka, cucu-cucunya mengikuti datuk mereka, Muhammad Nazar Abdullah, 53 tahun, untuk mencari lembu di kawasan kebun berhampiran kediaman mereka. Setelah pulang, kedua beradik ini membawa dua bungkusan keropok yang diikat dengan tali.
“Saya agak kesal dengan apa yang berlaku kerana pemilik kebun itu menggantung makanan ringan (mengandungi racun) itu di tepi pagar berdawai di tempat yang rendah dan mampu dicapai dua cucu.
“Saya tak nampak mereka makan (makanan ringan berkenaan) kerana dua beradik itu terus masuk ke dalam bilik ibu mereka yang ketika itu tidur kerana baru pulang kerja malam, selepas itu saya keluar ke kebun getah berhampiran.
“Tidak lama kemudian, saya ternampak ambulans masuk ke kawasan rumah dan jiran memberitahu dua cucu saya sudah pun dibawa ke klinik,” katanya.
Ibu kedua beradik ini juga melihat Muhammad Luth Syauqi mengalami serangan sawan, sementara Muhammad Akil Syauqi lemah dan muntah-muntah.
“Saya nampak dua bungkusan makanan ringan itu sudah terbuka di bahagian tengah dan hanya tinggal baki tiga keping makanan ringan dan mengesyaki mereka dah makan keropok itu.
“Saya berdoa agar kedua cucu saya cepat sembuh kerana saya yang menjaga mereka sejak lahir dan mereka dibesarkan bersama kami di sini,” tambahnya.
Kedua beradik ini kini dirawat di Hospital Pulau Pinang (HPP) dalam keadaan kritikal dan hanya mampu menggunakan bantuan mesin pernafasan untuk membantu pernafasan mereka.
Kredit Harian Metro