fbpx

Seorang pekebun ditahan reman selama enam hari bermula hari ini untuk membantu siasatan kes dua kanak-kanak berusia dua dan tiga tahun yang termakan keropok yang mengandungi racun tikus di Kampung Padang Ubi, Labu Besar.

Kejadian tragis yang berlaku pada Isnin lalu mengakibatkan seorang daripada mangsa berusia tiga tahun meninggal dunia di Hospital Pulau Pinang (HPP) setelah bertarung nyawa selama tiga hari.

Suspek Direman 6 Hari Bermula Hari Ini

Hakim Mahkamah Sesyen, Mirza Mohamad membenarkan permohonan reman terhadap lelaki berusia 33 tahun, yang juga pemilik kebun tersebut bermula hari ini sehingga 17 Julai.

Menurut pihak berkuasa, suspek ditahan di Lubuk Buntar, Bandar Baharu pada petang semalam. Hasil siasatan menunjukkan lelaki yang berasal dari Kampung Padang Ubi itu tidak mempunyai sebarang rekod jenayah atau kesalahan dadah.

Ketua Polis Daerah Kulim iaitu Superintendan Mohd Azizul Mohd Khairi menyatakan penahanan suspek adalah untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta 611 kerana pengabaian terhadap kanak-kanak dan Seksyen 284 Kanun Keseksaan yang berkaitan dengan kelakuan cuai berhubung benda beracun.

Media sebelum ini melaporkan bahawa seorang daripada dua beradik yang termakan keropok yang disyaki bercampur racun tikus telah meninggal dunia pada pagi semalam. Jenazah Muhammad Akil Syauqi, 3 tahun, telah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Banggol Berangan, Baling pada jam 9.45 malam tadi.

Adiknya, Muhammad Luth Syauqi, 2 tahun, masih menerima rawatan di Hospital Pulau Pinang dan dilaporkan dalam keadaan kritikal.

Laporan media sebelum ini juga menyatakan bahawa kedua-dua beradik tersebut berada dalam keadaan kritikal selepas termakan keropok yang dipercayai dicampur racun tikus yang digantung di pagar dawai besi berhampiran kebun yang tidak jauh dari rumah mereka.

Tindakan menggantung keropok beracun tersebut dipercayai dilakukan oleh pemilik kebun sebagai usaha untuk menghalau kera yang sering berkeliaran dan merosakkan tanaman di kebun tersebut.

Kredit: Berita Harian

[fbcomments]