Polis berjaya menahan seorang lelaki berusia 57 tahun yang disyaki menetak isteri dan anak perempuannya menggunakan parang dalam kejadian di kawasan Permai Jaya, Sibu, semalam.
![]()
Lelaki Ditahan Disyaki Tetak Isteri dan Anak Perempuan Guna Parang di Sibu
Ketua Polis Daerah Sibu, Asisten Komisioner Zulkipli Suhaili berkata, suspek ditahan oleh pasukan petugas khas di kawasan Kanowit pada jam 4.15 petang, Rabu, beberapa jam selepas kejadian dilaporkan. Katanya, suspek akan dibawa ke Mahkamah Sibu pada 30 Oktober untuk permohonan reman bagi membantu siasatan lanjut.
Menurut Zulkipli, pihaknya menerima panggilan kecemasan melalui talian MERS 999 sekitar jam 7 pagi daripada salah seorang mangsa yang memaklumkan bahawa dia dan ibunya telah diserang menggunakan parang oleh ayahnya sendiri. Susulan itu, sepasukan polis segera digerakkan bagi mengesan suspek sebelum berjaya menangkapnya di Kanowit.
![]()
Ekoran serangan tersebut, isteri suspek dilaporkan berada dalam keadaan kritikal dan kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sibu, manakala anak perempuan pasangan itu yang berusia 20 tahun turut mengalami kecederaan parah di bahagian kepala.
Polis kini sedang menyiasat punca kejadian termasuk motif disebalik serangan berkenaan. Kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan parah menggunakan senjata berbahaya.
Kredit: Sinar Harian