Susulan kontroversi melibatkan paparan Jalur Gemilang yang tidak lengkap di muka depan akhbar Sin Chew Daily, pihak pengurusan syarikat itu bertindak segera dengan menggantung tugas dua pegawai kanan editorialnya sementara siasatan dijalankan.
Dua individu yang terlibat ialah Ketua Pengarang Eksekutif, Chan Aun Kuang dan Timbalan Ketua Subeditor, Tsai Shwu San. Menurut kenyataan rasmi Sin Chew Daily, penggantungan ini berkuat kuasa serta-merta mulai Khamis dan akan diteruskan sehingga siasatan selesai.
Dua Editor Sin Chew Daily Digantung Tugas Selepas Isu Jalur Gemilang Tidak Lengkap
Kes ini tercetus selepas akhbar tersebut menyiarkan ilustrasi bendera Malaysia yang tidak lengkap di muka hadapan edisi khas sempena lawatan Presiden China, Xi Jinping ke negara ini. Tindakan itu menimbulkan rasa tidak puas hati orang ramai dan mengundang pelbagai laporan polis daripada seluruh negara.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain memaklumkan bahawa dua pegawai Sin Chew terbabit telah ditahan bagi membantu siasatan lanjut. Polis turut merampas beberapa peralatan seperti komputer dan bahan berkaitan bagi tujuan forensik. Namun, kedua-dua mereka telah dibebaskan dengan jaminan polis pada malam yang sama.
Difahamkan, Ketua Editor terbabit dipercayai meluluskan penyiaran ilustrasi berkenaan manakala Timbalan Ketua Penyunting pula merupakan individu yang mereka grafik imej bendera tersebut.
Setakat ini, sebanyak 40 laporan polis telah diterima berhubung insiden tersebut. Kes disiasat di bawah Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) 1963 dan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.
Insiden ini turut mendapat perhatian Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, yang menzahirkan rasa kecewa dan menegaskan bahawa pihak editorial seharusnya lebih teliti dalam semakan sebelum sebarang bahan diterbitkan kepada umum.
Pihak Sin Chew Daily sebelum ini telah memohon maaf secara terbuka kepada rakyat Malaysia, menjelaskan bahawa kejadian itu adalah kesilapan teknikal dan bukannya disengajakan.
Kredit: Harian Metro