Satu insiden membimbangkan berlaku di hadapan sebuah kelab malam di Jalan Klang Lama apabila dua buah kenderaan dipercayai sengaja dipandu secara melulu hingga merempuh sekumpulan individu, mengakibatkan beberapa orang tercedera.

 

Video di bawah:

https://x.com/annazrulan/status/1884632855390875753?s=46&t=lOtDPMyIYmtDu_EQulWeUw

Dua Kenderaan Pandu Melulu Rempuh Orang Ramai Di Hadapan Kelab Malam, Polis Buka Kertas Siasatan

Kejadian yang berlaku pada waktu malam itu sempat dirakam dan tular di media sosial, memaparkan sebuah Toyota Hilux dan Toyota Vios muncul dari kawasan berhampiran sebelum meluru ke arah orang ramai. Kedua-dua kenderaan tersebut kemudian berpatah balik dan sekali lagi melanggar individu di lokasi berkenaan.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Ku Mashariman Ku Mahmood, mengesahkan pihaknya menerima laporan daripada seorang saksi berusia 24 tahun yang menyaksikan kejadian tersebut.

Menurut beliau, tindakan berbahaya itu mengakibatkan sekurang-kurangnya dua individu cedera, dengan salah seorang mangsa terpaksa dihantar ke hospital menggunakan ambulans.

Selain itu, Toyota Vios berwarna perak yang terlibat dalam kejadian tersebut turut merempuh sebuah motosikal yang diletakkan berdekatan kawasan itu.

Buat masa ini, pihak polis masih menunggu laporan rasmi daripada mangsa kejadian dan siasatan telah dibuka mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan atas cubaan membunuh.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan insiden ini diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi talian hotline Polis Kuala Lumpur di 03-2115 9999 atau hotline Polis Brickfields di 03-2297 9222,” katanya dalam satu kenyataan.

Kredit: Berita Harian, X annazrulan

[fbcomments]